Pages

12 Mei 2012

UMNO untuk seluruh rakyat

KUALA LUMPUR 10 Mei - Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjuangan parti itu sudah terbukti memberikan manfaat dan melimpahkan nikmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman ideologi.
Katanya, UMNO sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik.
"Keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat. Tuduhan liar pihak tertentu bahawa UMNO ialah parti rasis, antidemokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali,'' katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun UMNO Ke-66 yang akan disambut esok.
Bagaimanapun, Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak alpa dengan kejayaan dicapai sebaliknya terus memugar semangat yang mendasari penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta.
''Masa berlalu persekitaran berubah, cabaran parti erapasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pramerdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.
''Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan,'' katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.
''Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia.
''Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur,'' katanya.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan