Pages

12 Mei 2012

Dedah dasar perjuangan parti

KUALA LUMPUR 10 Mei - Penganjuran program dan aktiviti sempena sambutan Ulang Tahun Ke-66 UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai esok hingga Ahad memberi penekanan khusus untuk menarik minat generasi muda terhadap dasar perjuangan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, golongan muda kurang diberi pendedahan dengan sejarah perjuangan UMNO menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan tohmahan pihak pembangkang.
Menurut beliau, sambutan ulang tahun UMNO kali ini merupakan platform yang sesuai untuk mendedahkan golongan muda terhadap hala tuju parti dan perjuangannya untuk orang Melayu serta bangsa Malaysia.
''Selain Larian Bendera UMNO di seluruh pelosok negara yang bermula 1 Mei lalu, pengisian aktiviti-aktiviti sepanjang sambutan termasuk pameran sejarah UMNO sejak 1946, kursus motivasi, sukan lasak dan futsal.
''Kita menjangka lebih 500,000 pengunjung yang terdiri daripada anggota masyarakat pelbagai kaum dan agama akan hadir memeriahkan acara sambutan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Tambah Tengku Adnan, sambutan Ulang Tahun Ke-66 UMNO akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, esok mulai pukul 8.00 malam dan penerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang bakal diumumkan pada majlis perasmian itu.
Beliau memberitahu, aktiviti-aktiviti lain adalah Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN), majlis bacaan tahlil dan Yasin di Surau Ar-Rahman, PWTC dan persembahan artis-artis terkenal tanah air.
''Dalam kemeriahan menyambut ulang tahun parti ke-66 kali ini, saya berharap semua pemimpin dan ahli menjiwai tema UMNO Pembela Rakyat yang menjadi tunggak perjuangan kita sejak dulu, kini dan selamanya.
''Kita seharusnya sentiasa bersikap prihatin terhadap masyarakat dan menganggap perjuangan membela rakyat sebagai satu amanah yang mesti dilaksanakan sebaik mungkin," ujarnya.
Di samping itu, kata Tengku Adnan, usaha murni UMNO meletakkan negara pada tahap membanggakan pasti turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan