KUALA LUMPUR 10 Mei - UMNO komited dalam
perjuangan meningkatkan kualiti hidup dan hak seluruh rakyat Malaysia
dan bukan hanya memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, kata Ketua
Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
selama 66 tahun UMNO menerajui pemerintahan negara, parti itu tidak
pernah sekalipun melakukan dasar mahupun pelan transformasi yang hanya
memihak dan menguntungkan orang Melayu sahaja.
"Memang teras perjuangan UMNO adalah bagi memperkasakan dan
mendaulatkan hak orang Melayu, tetapi jika kita lihat dari dulu hingga
kini tidak ada satu pun yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk
sebuah kaum sahaja, dan jika ada mengapakah kerajaan kini beriya-iya
mempromosikan identiti dan budaya 1Malaysia?
"Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
banyak lagi dasar dan juga pemberian kerajaan kepada rakyat untuk
mengurangkan beban tidak hanya memfokuskan kepada orang Melayu sahaja,
maka saya anggap UMNO sehingga kini telah terlalu banyak membantu dan
menjaga kebajikan rakyat di negara ini keseluruhannya," katanya dalam
program Soal Jawab terbitan TV3 malam tadi.
Program wawancara itu dipengerusikan Pengerusi Kumpulan Media Prima
Berhad, Datuk Johan Jaaffar. Turut menjadi panel tamu pada program yang
membincangkan hala tuju UMNO sempena ulang tahun ke-66 penubuhan parti
itu ialah bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Ditanya perbezaan UMNO pada tahun 2008 dan pada masa sekarang bagi
menghadapi pilihan raya umum, Ahmad berkata, kekuatan UMNO pada kali ini
berada di tahap optimum yang mana ia juga melibatkan peringkat akar
umbi.
"2008 dahulu kita dilanda 'tsunami', ekoran lima negeri kita kalah
dan terpaksa diserahkan kepada pembangkang tetapi kini atas komitmen dan
gerak kerja yang saya lihat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan tidak mustahil kita mampu peroleh apa
yang kita rancang untuk pilihan raya akan datang nanti.
"UMNO juga semakin matang dan ia boleh dilihat sendiri apabila
presiden sendiri memohon maaf kepada anggota parti atas kesilapan dan
kekhilafan pimpinan lalu yang menyebabkan kita tidak memperoleh
kemenangan yang 'total' semasa 2008," katanya.
Kepada pertanyaan Azman mengenai kemampuan undi UMNO daripada kaum
lain berbanding undi orang Melayu sahaja, Ahmad berkata, kenyataan itu
tidak boleh diterima seratus peratus walaupun ada benarnya.
"UMNO di bawah tunjang Barisan Nasiolan (BN) bersama 12 parti
kompenan yang lain sebenarnya berkemampuan untuk menarik undi pelbagai
kaum termasuklah di Sabah dan Sarawak.
"Di BN kami sentiasa bekerjasama sesama parti kompenan yang lain
dalam menarik undi, dan dalam konteks ini tidak wajar hanya menggunakan
UMNO sahaja sebagai penarik undi orang Melayu sebaliknya BN yang patut
digunakan yang mana ia bertindak sebagai peraih undi Melayu, Cina,
India, Sabah dan Sarawak," katanya.
Azman berkata kematangan UMNO juga dilihat semakin meningkat
terutamanya berjaya memperbaiki salah satu faktor kekalahan parti itu di
lima negeri pada 2008.
"Faktor 'sosial network' yang menjadi duri dalam daging kepada UMNO
dilihat sudah tidak menjadi ancaman lagi ekoran ramai dalam kalangan
pemimpin telah mula sedar akan pentingnya untuk menggunakan laman sosial
untuk mendekati rakyat.
"Cuma apa yang saya lihat sekarang UMNO perlu lebih berusaha dalam
mendekati golongan muda yang mana mereka ini golongan pengundi di atas
pagar bagi pilihan raya akan datang," katanya. — BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan