USIA Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang ditubuhkan
dengan matlamat mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan
maruah dan martabat bangsa, agama serta negara genap 66 tahun pada tahun
ini.
UMNO lahir pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru. Ketika
Perhimpunan Agung yang pertama, piagam atau perlembagaan telah diterima
dan diluluskan oleh peserta. Pada majlis itu, Datuk Onn Jaafar turut
dipilih sebagai Yang Dipertuanya yang pertama.
Antara kandungan Fasal Tiga Perlembagaan UMNO yang menyentuh mengenai
asas dan tujuan penubuhan parti adalah mempertahankan kedaulatan rakyat
dan keadilan sosial menerusi sistem pemerintahan demokrasi berparlimen
serta memajukan ekonomi orang Melayu, bumiputera dan rakyat Malaysia
amnya.
Sebenarnya, penubuhan UMNO adalah hasil usul Kongres Melayu Se-Malaya
pertama yang diaturkan oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan
Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946. Seramai
41 pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.
Ketika berucap pada kongres pertama ini, Onn telah mengusulkan supaya
ditubuh Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO) ilham daripada Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan nasionalis Melayu, Tan Sri Dr. Zainal
Abidin Ahmad (Pendeta Za'aba) kemudiannya mencadangkan perkataan
'kebangsaan' ditambah menjadi UMNO.
Selepas penubuhan UMNO, parti itu menjadi platform untuk orang Melayu
berjuang menentang tipu helah British yang telah mempengaruhi raja-raja
supaya menandatangani perjanjian menyatukan negeri-negeri Melayu
bersama Melaka dan Pulau Pinang di bawah Malayan Union dan ditadbirkan
sebagai jajahan takluk British.
Perjuangan itu kemudiannya berkembang untuk membela semua kaum
apabila ia merintis kerjasama UMNO Kuala Lumpur dan Persatuan Cina
Malaya (MCA) Selangor pada awal 1952 dalam pilihan raya Majlis Bandaran
Kuala Lumpur.
Pada 1955, bagi menghadapi pilihan raya umum yang pertama, Perikatan
UMNO-MCA-Kongres India Malaya (MIC) telah diwujudkan sebagai lambang
permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum.
Dengan kejayaan cemerlang memenangi 51 daripada 52 kerusi bagi Majlis
Perundangan Persekutuan, Parti Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO
terus berazam untuk mendapatkan kemerdekaan penuh dan selepas beberapa
siri rundingan di London; Tanah Melayu diisytihar merdeka pada 31 Ogos
1957.
Setelah sekian lama Parti Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai
Barisan Nasional (BN) memerintah sehingga menjadikan Malaysia aman dan
makmur, akhir pihak pembangkang mula sedar keberkesanan formula
perkongsian kuasa itu dan 'menciplaknya' dengan menubuhkan Pakatan
Rakyat.
Anehnya pakatan tidak berdaftar itu turut disertai Pas, parti yang
pernah mengeluarkan 'fatwa' pada kempen pilihan raya umum 1964 bahawa
UMNO kafir kerana memerintah negara secara berikat dengan parti-parti
yang ahlinya bukan Islam.
Sebenarnya, Pakatan Rakyat bukan alternatif sesuai untuk memerintah
negara ini kerana ia dianggotai parti-parti yang berbeza ideologi.
BN yang ditunjangi UMNO sepatutnya disokong kerana ia telah
menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki segala kelemahan menerusi
transformasi politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan amanat
pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-65 di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada tahun lalu turut menegaskan UMNO akan
terus melakukan transformasi politik dan memantapkannya lagi supaya ia
terus kekal relevan sebagai parti tonggak.
Menurut Najib, langkah itu dibuat kerana UMNO tidak mahu parti itu
senasib dengan parti-parti lain yang telah banyak berjasa tetapi hari
ini telah berkubur kerana kegagalannya untuk berubah sejajar dengan
peredaran zaman.
Dalam pada itu, veteran UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman
melahirkan keyakinan UMNO masih relevan sebagai parti tonggak kerana
keberaniannya dalam melakukan perubahan secara evolusi.
"Setelah ditubuhkan pada 1946 dengan kepimpinan Datuk Onn diikuti
Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah
dan sekarang ini Datuk Seri Najib maka saya merasakan ada evolusi yang
wujud dari dulu sampai sekarang dan kerana itulah UMNO masih relevan.
"Evolusi yang bukan secara mendadak berlaku kerana pemimpin UMNO amat
peka dengan landskap semasa misalnya, Presiden UMNO sekarang menjiwai
generasi muda sehinggakan beliau duduk bersila dengan mereka untuk
tengok bola, berkomunikasi melalui twitter dan facebook.
"Dengan cara sedemikian Perdana Menteri telah dapat mengubah wajah
UMNO yang dulunya sangat serius, tetapi sekarang ini merangkumi semua
lapisan masyarakat baik remaja atau yang lama," katanya yang juga
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak).
Tambahnya lagi, jika di negara-negara lain dapat dilihat bahawa
parti-parti seusianya telah disisihkan tetapi UMNO terus dipertingkat
kerana ada perubahan-perubahan yang dilakukan.
"Kalau kita tak berubah maka kita akan diubah dan tarikh 11 Mei ini
sangat penting dikaitkan kepada perjuangan UMNO yang berwajah baru
dengan tujuan mencapai Wawasan 2020.
"UMNO memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak untuk memastikan
ia berjaya mencapai segala matlamat yang telah digariskan," ujarnya.
Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Ahmad Nordin Md. Amin berkata,
langkah UMNO yang julung kali mengadakan sambutan ulang tahun secara
besar-besaran selama dua minggu akan membolehkan semua rakyat tahu
bahawa ia telah lahir begitu lama dan telah banyak perancangan terbaik
yang dibuat bagi membangunkan negara.
"Walaupun UMNO boleh memerintah sendiri tetapi kerana menyedari
negara kita adalah negara majmuk maka ia sanggup bersama-sama berkongsi
kuasa.
"Ini supaya rakyat jelata mendapat kemewahan hasil daripada keamanan
dan kesejahteraan dalam negara kita," katanya yang juga Timbalan
Presiden Mubarak.
Dalam pada itu, katanya, adalah lumrah UMNO mempelopori perjuangan
membela nasib orang Melayu kerana kaum itu paling ramai dalam Malaysia
dan kebetulan pula Melayu masih lagi kekurangan dalam pelbagai bidang
berbanding kaum-kaum lain.
"Sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi kita memberi
kebebasan kepada semua kaum, yang kaya biarlah mencari kekayaan dan yang
kurang ini mestilah dibantu supaya masing-masing dapat hidup aman
damai, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
"Kalau masing-masing mahu melepaskan enau dalam belukar sahaja maka negara boleh menjadikan huru-hara," katanya.
Oleh itu, sempena ulang tahun UMNO kali ini semua orang Melayu harus
menginsafi akan hakikat hanya parti itu sahaja yang boleh diletakkan
kesetiaan.
Seperti kata-kata ahli falsafah Amerika Syarikat abad ke-18, Josiah
Royce iaitu kita semua perlu sentiasa setia jika ingin mencapai
perpaduan dan keamanan dalam hidup.
Parti-parti lain yang didominasi oleh orang Melayu bukanlah
alternatif kerana ia lebih mementingkan kuasa sehingga sanggup menghalal
fatwa yang telah dibuat sendiri dan menggadai negara kepada pihak
asing.
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan