Pages

9 Mei 2012

Felda sanggah helah pembangkang

Felda telah banyak berubah. Di sebalik sisi gelap Pas dan PKR yang mencuba tak kira siang dan malam 'mencanai' segala usaha kerajaan untuk memartabatkan hidup yang lebih baik buat lebih 100,000 peneroka Felda, eloklah penulis berkongsi sedikit pengalaman turun padang menjengah kehidupan terbaru peneroka.
Awal tahun ini, seorang rakan penulis yang juga wakil Utusan Malaysia di Temerloh, Ali Mahmood berkesempatan bertemu seorang peneroka tanah rancangan itu. Dia berketurunan India dan tinggal di Felda Damar, Temerloh. Dia yang enggan dikenali memberitahu ada memiliki RM250,000 saham dalam Kumpulan Permodalan Felda (KPF). Katanya, setiap tahun dia memperoleh dividen antara RM35,000 hingga RM38,000.
"Saya kira kalau saham KPF ini ditukar ke saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH), saya boleh dapat dividen antara RM250,000 hingga RM270,000 setahun. Memang jauh berbeza kalau ia masih dalam KPF.
"Saya memang confident dengan Felda... 100 peratus (kepercayaan) saya serahkan kepada Felda. Felda tak pernah tipu saya," katanya kepada Ali.
Peneroka India itu hanya bercerita 'sekali lalu' tetapi menurut Ali, peneroka berkenaan yang baru kematian isteri akibat satu kemalangan, dilaporkan turut berjaya menghantar anaknya ke Amerika Syarikat mengikuti jurusan kedoktoran dengan pembiayaan poket sendiri - hasil jerih-perihnya bersama Felda.
Memang benar, di tanah-tanah rancangan Felda sekarang, pendapatan penerokanya setiap bulan agak lumayan. Boleh meraih purata antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
Kalau sekadar goyang kaki dari hasil kelapa sawit dan getah pun boleh hidup senang, apatah lagi jika bekerja lebih keras lagi dengan mengikat kontrak membersihkan ladang, angkut buah atau baik pulih rumah.
Sebenarnya banyak cerita hebat mengenai peneroka Felda sampai ke telinga penulis.
Di Felda Jenderak Selatan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau bersempadan Jerantut - lokasi satu majlis himpunan raksasa warga Felda (di Felda Jengka 8) yang bakal menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 'durian runtuh' yang dijanjikan kepada warga Felda sempena penyenaraian FGVH - seorang anak muda disapa oleh Ali dua bulan lepas. Ditanya oleh Ali: "Mak awak sudah ambilkah duit BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) itu?
Jawab anak muda itu: "Buat apa nak ambil, pendapatan mak saya daripada hasil getah pun dah dekat RM10,000 sebulan."
Sebenarnya, kalau tengok rumah-rumah peneroka di hampir seluruh Felda, memang hebat-hebat belaka. Tak semua banglo tapi saiznya besar. Itu belum masuk kereta tiga empat buah termasuk kenderaan 4WD.
Di Pahang sendiri, keseluruhannya begitulah. Cuma di Pahang, tak boleh lawan dengan Felda Sungai Koyan 2 dan 3. Landskapnya menarik - persekitarannya menghijau dengan rumput yang cukup bersih dan sebiji sampah pun tak kelihatan. Kedua-dua kawasan ini didiami bekas polis dan tentera.
Hari ini, seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara bakal menerima bonus atau 'durian runtuh' sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada jasa golongan ini.
'Durian runtuh' itu adalah sebagai tanda penghargaan usaha dan pengorbanan peneroka Felda yang bersusah payah membuka tanah hutan kepada ladang getah dan kelapa sawit.
Disingkap sejarah, Felda ditubuhkan pada 1956 menjelang merdeka. Dari detik permulaan secara kecil-kecilan, organisasi ini berkembang menjadi suatu organisasi raksasa. Kini, tanah-tanah rancangan yang diselenggarakannya meliputi lebih daripada setengah juta hektar dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat daripada Felda yang terdiri daripada peneroka, pekerja Felda dan pekerja kontrak serta keluarga masing-masing.
Sejak 1960, Felda yang ditubuhkan untuk pembangunan kawasan pedalaman yang lebih terpencil di negara ini, telah bertanggungjawab secara langsung dalam usaha pembangunan. Kerajaan-kerajaan negeri menyerahkan segala hak ke atas tanah untuk diusahakan kepada Felda yang seterusnya menjadi agensi yang bertanggungjawab memajukannya kepada suatu kawasan pembangunan yang bersepadu sepenuhnya.
Rancangan tanah pertama yang dibuka ialah Rancangan Lurah Bilut yang ditanam dengan getah iaitu pada tahun 1958. Rancangan tanah Taib Andak pula merupakan rancangan Felda pertama ditanam dengan sawit sekitar 1961.
Dan hari ini, 'durian runtuh' yang diumumkan Perdana Menteri dikatakan akan disampaikan dalam dua bentuk - wang tunai dan saham. Apa yang pasti 'durian runtuh' itu melebihi kadar BR1M.
Nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud 'durian runtuh' kerana ia merupakan satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka. Ia akan diperuntukkan melalui wang Felda sendiri dan bukannya daripada wang kerajaan yang diharap dapat merangsang aktiviti ekonomi warga Felda di kawasan pedalaman.
Dalam hal ini, Felda sebenarnya tidak pernah memaksa para peneroka mengambil pinjaman untuk membeli saham-saham FGVH. Ini memandangkan kebanyakan syarikat membuka peluang kepada pemegang-pemegang berkepentingan membeli saham-sahamnya semasa proses penyenaraian.
Syarikat-syarikat itu juga kebiasaannya mengaturkan pembiayaan menerusi institusi kewangan terpilih kepada pihak-pihak yang berminat. Dan Felda turut melakukan perkara serupa untuk mempermudahkan urusan para peneroka mendapatkan sumber kewangan bagi membeli saham-saham FGVH selepas disenaraikan di Bursa Malaysia kelak. Bagaimanapun, peneroka-peneroka yang berkemampuan boleh membeli saham dengan menggunakan wang sendiri.
Kenyataan ini sebenarnya amat bertentangan dengan dakwaan PKR yang mendakwa kononnya peneroka Felda tidak akan menerima 'duriah runtuh' dijanjikan kerajaan sebaliknya mereka dipaksa membuat pinjaman dengan institusi kewangan untuk membeli saham-saham FGVH.
Sejarah awal penubuhan Felda difahami oleh peneroka asal kerana golongan tersebut yang mula meneroka tanah ketika itu. Berkat kesabaran mereka membangunkan tanah rancangan Felda, hasilnya mereka menikmati hidup lebih baik sehingga ke generasi seterusnya.
Dalam isu ini, setidak-tidaknya generasi baru dapat menyedari bahawa Felda telah berjaya mengubah kehidupan peneroka ke arah yang lebih baik. Tindakan segelintir generasi baru Felda yang condong kepada pembangkang adalah kerana mereka tidak memahami sejarah penubuhan agensi itu.
Apabila 'pintu masuk' Felda Lurah Bilut tempoh hari dipasang sepanduk 'kami orang Felda tak kebulur duit', ramai penerokanya terkejut.
"Kalau kita orang luar Felda ini sedang menuju ke Lipis atau Kelantan, tentu akan menyangka peneroka tidak harapkan 'durian runtuh', sebenarnya tidak. Kami peneroka Felda Lurah Bilut menyokong penuh segala usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk kami," ujar seorang peneroka kepada Ali.
Yang nyata - sebelum enam tahun lepas, peneroka Felda tak sesenang seperti sekarang.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan