Pages

9 Mei 2012

Sejauh mana umat Islam pandang tinggi keputusan Jawatankuasa Fatwa?

HARAM bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Itu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Tentunya fatwa tersebut amat selari dengan tuntutan Islam itu supaya umatnya cintakan keharmonian dan menjauhi sebarang perbuatan yang membawa kepada kerosakan.
Apatah lagi jika kerosakan atau huru-hara yang dicetuskan membawa kelak kepada kemusnahan umat Islam itu sendiri, pasti ia menjadi sesuatu yang haram. Malah namakan apa saja agama di dunia ini, tidak ada satu pun yang menggalakkan penganutnya membuat sesuatu yang boleh mendatangkan kerosakan.
Kesemuanya menganjurkan sikap saling hormat-menghormati, cintakan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni.
Sebab itu apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan yang mencetuskan huru-hara atau kekacauan kepada negara, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Keputusan seumpama itu akan dikeluarkan tidak kira jika ulama yang bersidang itu bermazhab Shafie, Hanafi, Maliki mahu pun Hambali. Ini kerana teras ajaran Islam itu sendiri sememangnya mengharamkan apa juga bentuk kegiatan yang mendatangkan kerosakan, kemudaratan serta menghuru-harakan keadaan.
Namun sejauh mana umat Islam memandang tinggi keputusan Majlis Fatwa? Atau setakat manakah umat Islam dididik supaya mematuhi ajaran agama tanpa menunggu Majlis Fatwa mengeluarkan keputusan?
Larangan menyertai perhimpunan haram yang boleh mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara bukan keputusan Majlis Fatwa yang pertama. Banyak keputusan telah diumumkan sebelum ini. Fatwa haram merokok misalnya paling kerap diperkatakan.
Merokok menjadi haram kerana perokok sengaja mencampakkan diri mereka dalam kebinasaan. Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya merosakkan diri sendiri atau mendatangkan kerosakan kepada orang lain.
Jika ajaran Islam dihayati sepenuhnya, maka orang Islam tidak akan merokok tanpa menunggu fatwa dikeluarkan.
Sehubungan itu saya percaya, isu yang perlu ditangani segera adalah meningkatkan penghayatan di kalangan umat Islam tentang perkara-perkara yang ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’. Umat Islam mesti dididik supaya mempunyai kekuatan minda untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum bertindak di luar batasan.
Ini kerana tanpa penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar, berjela-jela fatwa dikeluarkan tidak akan ada pematuhan menjadikan fatwa sia-sia.
Tentunya kita tidak mahu keputusan Majlis Fatwa diperlekehkan atau dipandang sepi mana-mana pihak terutama kumpulan yang telah tersemat di akal dan fikiran mereka bahawa Malaysia adalah negara paling korup, paling zalim, paling tidak adil dan sebagainya.
Kita mahu setiap fatwa diangkat dan dipatuhi kerana fungsi fatwa itu sendiri adalah untuk meleraikan segala kemusykilan terutama kepada hukum-hakam yang nipis bayangannya. Dalam hal perhimpunan haram, fatwa kelmarin menjelaskan lagi apa yang telah termaktub di dalam ajaran Islam.
Namun dalam hal menyertai perhimpunan haram, kerosakan yang tercetus bukan seperti tabiat merokok. Perokok berisiko maut selepas bertahun-tahun menyedut nikotin, manakala negara boleh runtuh sekelip mata disebabkan huru-hara yang dicetuskan sekumpulan manusia yang sememangnya mempunyai agenda tersendiri.
Biar pun bencana akibat merokok tidak sepantas perhimpunan haram, namun kita mesti ingat bahawa ketagihan untuk berdemonstrasi dan melakukan huru-hara akan terbentuk jika semua pihak bersikap lemah-lembut atau pun tidak apa terhadap apa yang berlaku.
Apatah lagi jika perhimpunan yang ketiga mendapat sambutan, akan ada siri empat, lima, enam dan seterusnya menjadikan fatwa bahawa menyertai perhimpunan yang boleh menghuru-harakan negara umpama tiada maknanya. Sebab itu dalam hal ini, pihak berkuasa mesti bertindak bijak membendung dari awal lagi anasir-anasir yang mahu merosakkan negara.
Jangan biarkan anasir itu menjadi umpama nikotin yang merosakkan paru-paru perokok dan akhirnya bertindak sebagai agen pembunuh. Kelewatan menyekat anasir tersebut bukan saja bakal menyaksikan fatwa dibelakangi malah undang-undang negara pun tidak mustahil dipijak.
Kita tidak mahu menjadi seperti negara jiran yang mana rakyatnya dibayar untuk berdemonstrasi. Menyertai perhimpunan haram malah menjahanamkan harta benda awam atas nama hak asasi manusia di negara jiran kini menjadi pekerjaan.
Mereka dibayar untuk menghuru-harakan keadaan sehingga akhirnya menimbulkan ketagihan kerana habuan yang diperoleh. Ketagihan itu yang dibimbangi menyerap di kalangan rakyat negara ini sehingga mereka sanggup dijadikan alat untuk sebuah perjuangan yang tidak diketahui apa akar dan ubinya.
/HWA: utusan.com.my | 8/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan