Pages

21 Mei 2012

Keikhlasan Nik Aziz bermuzakarah dipersoal

BAGAN DATOH 18 Mei - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenakan syarat tertentu untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO menimbulkan persoalan sama ada parti itu benar-benar ikhlas untuk memastikan pertemuan itu menjadi kenyataan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak memadai sekiranya pelawaan muzakarah itu dibuat atas pertimbangan politik semata-mata, sedangkan ia sepatutnya mencakupi perkara lebih luas terutamanya melibatkan kepentingan umat Islam.
"Kita tahu soalan (pelawaan) muzakarah itu datang dari wartawan, bukan dari Nik Aziz sendiri. Pendirian kita jelas, siapa sahaja hendak bermuzakarah, kita sentiasa terbuka dan paling penting kita tidak kenakan apa-apa syarat.
"Sebab (muzakarah) ini bukan soal politik, tentunya isu-isu yang hendak dibangkitkan ialah tentang umat Islam, usaha memartabat Islam dan tingkatkan darjat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek anak angkat Universiti Teknologi Petronas di Sekolah Kebangsaan Rungkup di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang bersetuju supaya parti itu membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan badan kerajaan (NGO) Islam termasuk UMNO.
Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, muzakarah itu hanya membabitkan persoalan kenapa pihak tertentu menolak Islam.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam reaksinya semalam berkata, parti terbesar orang Melayu itu sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Ahmad Zahid berkata, timbul persoalan sama ada kenyataan Nik Abdul Aziz itu menggambarkan pendirian sebenar Pas memandangkan terdapat pemimpin parti itu sendiri tidak bersetuju jika muzakarah dengan UMNO diadakan.
"Saya tidak nampak itu satu tawaran. Kalau tidak ikhlas, tidak payahlah kerana biarlah ia diadakan dengan hati dengan rela. Kalau ada agenda dan orang lain pun kata kita (UMNO) ada agenda, tidak perlulah. Nanti orang tanya pula kenapa nak dekat pilihan raya baru ada muzakarah.
"Perkara mengenai agama tidak wajar dipolitikkan. Kita tahu dalam Pas pun ada yang tidak setuju (bermuzakarah), pemimpin Pas seperti Khalid Samad tidak setuju dengan Nik Aziz. Kalau mereka tidak setuju, bagaimana Nik Aziz hendak mempengaruhi yang lain untuk setuju?," tegasnya.
/HWA: utusan.com.my | 19/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan