ABU Bakar Haron (kiri) dipeluk Mohd.
Zain Jusoh yang merupakan Imam Masjid Chini Timur 2 dan AJK Pas cawangan
Chini di Felda Chini Timur 3 selepas majlis penyampaian cek durian
runtuh Felda bagi fasa pertama di Dewan Orang Ramai Felda Chini Timur 3,
di Pekan, semalam.
*****
PEKAN 18 Mei - Mohd. Zain Jusoh, peneroka dari rancangan Felda Chini
Timur 2 dan Othman Abd. Ghani, 59, dari Chini Timur 3 dikenali sebagai
'orang kuat' Pas dan mereka turut mempunyai jawatan di peringkat
cawangan masing-masing.
Namun hari ini kedua-duanya adalah orang yang paling erat memeluk
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Haron walaupun
mereka berbeza fahaman politik.
Segalanya disebabkan pemberian cek durian runtuh RM5,000 sempena
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) yang
disampaikan Abu Bakar kepada Mohd. Zain dan Othman bersama 3,348 ketua
isi rumah di Gugusan Felda Chini.
Saat-saat menarik itu berlaku selepas majlis penyampaian cek
berkenaan di Dewan Orang Ramai Chini Timur 3 apabila Mohd. Zain secara
tiba-tiba datang ke arah Abu Bakar dan terus memeluk erat ADUN Chini
berkenaan.
Walaupun menyedari orang ramai mengetahui dia adalah seorang pemimpin
Pas cawangan namun Mohd. Zain dilihat ikhlas memeluk Abu Bakar yang
juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan membiarkan jurugambar
merakamkan aksinya.
Terdahulu, Othman yang merupakan 'orang kuat' Unit Amal Pas di Pekan
turut memeluk Abu Bakar sambil mengucapkan syukur dan terima kasih atas
pemberian durian runtuh itu yang diberikan kepada semua peneroka Felda
termasuk penyokong Pas sepertinya.
Abu Bakar pula dalam reaksi spontannya kepada Othman mengingatkan
peneroka itu bahawa Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang adil
kepada semua termasuk penyokong pembangkang.
Walaupun hanya menyambutnya dengan senyum simpul, Othman
menganggukkan kepala sambil berseloroh mengatakan walaupun dia merupakan
orang kuat Pas namun tetap bersama Abu Bakar.
Selain mereka berdua, turut hadir menerima cek pemberian durian
runtuh pada majlis itu hari ini ialah Naib Ketua 1 Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Cabang Pekan, Jamaludin Shariff, 63.
Ironinya, beliau bukan sahaja pemimpin pembangkang di Pekan tetapi
Jamaludin adalah penggerak utama di sebalik tindakan 770 peneroka di
Gugusan Felda Chini yang memfailkan saman atas dakwaan Felda melakukan
manipulasi terhadap Kadar Perahan Gred (KPG) buah kelapa sawit di
Mahkamah Sesyen Kuantan, 26 April lalu.
Jamaludin yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, dia dan
rakan-rakannya yang lain tidak perlu berasa malu kerana wang tersebut
adalah hasil titik peluh mereka sebagai peneroka sejak 30 tahun lalu.
"Bagaimanapun sebagai warga Felda, saya bersyukur atas pemberian
durian runtuh ini kerana ia merupakan pemberian terbesar dalam sejarah
sebagai peneroka.
"Usaha kerajaan seperti ini merupakan satu pemberian yang boleh
dianggap sebagai contoh dalam menghargai keringat peneroka selama ini,"
katanya.
Pemberian durian runtuh fasa pertama untuk ketua keluarga peneroka di
Felda Gugusan Chini itu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM16.75
juta.
Sementara itu, peneroka Felda Chini Timur 2, Razali Haron, 55,
berkata, rakan peneroka yang memfailkan saman kepada Felda seharusnya
mengkaji perkara itu sebelum membuat sebarang tindakan.
"Renung kembali kesusahan selama ini dan siapa yang membantu kita
sehingga berjaya seperti hari ini jika bukan Felda. Sekarang kita mampu
memiliki kereta dan rumah banglo sedangkan dahulu motosikal pun belum
tentu.
"Saya cukup terkilan dengan tindakan segelintir peneroka yang menyaman Felda selepas mendengar hasutan pembangkang," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 19/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan