TASEK GELUGOR 13 Mei - Malaysia bakal kembali ke
era penjajahan Portugis pada 1511 sehingga Kesultanan Melayu kehilangan
kuasa sekiranya Barisan Nasional (BN) dan UMNO tumbang pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 nanti.
Malah, akan muncul Alfonso de Albuquerque baru yang akan menghapuskan
agenda pembangunan ekonomi Melayu sehingga menyaksikan bangsa itu
menjadi hamba kepada kaum lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
berkata, agenda pembangunan ekonomi Melayu mula bertapak di sini
terutama Melaka sejak 1400 lagi, namun ia dilenyapkan selepas Melaka
jatuh ke tangan Portugis pada 1511.
Menurutnya, sejak itu ia hilang ditelan penjajahan sehingga Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, barulah asas keusahawanan
Melayu itu dikembalikan sampai ke hari ini.
"Melalui kerajaan yang dibentuk pada masa itu, agenda ekonomi Melayu
ini terus diperjuangkan tanpa mengetepikan kerjasama dan perkongsian
bersama bangsa-bangsa lain.
"Namun, sekiranya BN kalah pada pilihan raya akan datang, tidak
mustahil Malaysia kembali ke zaman 1511 itu kerana tidak mustahil
Alfonso de Albuquerque baru yang menguasai Putrajaya nanti meminggirkan
agenda keusahawanan Melayu," katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan program Jelajah Gemilang Usahawan anjuran
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) serta melancarkan MTEM Rangkaian
Utara di Dewan Besar Sungai Dua, di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, contohnya
boleh dilihat sekarang apabila agenda pembangunan Melayu dihapuskan di
beberapa negeri yang dikuasai pakatan pembangkang sehingga meminggirkan
orang Melayu.
Dalam pada itu, Rizal Faris menegaskan, tiada halangan yang boleh
mengekang kejayaan usahawan Melayu sekiranya mereka mempunyai keazaman
serta berani bersaing dengan bangsa lain.
"MTEM adalah platform kepada usahawan dan gabungan pertubuhan bukan
kerajaan untuk mencungkil bakat usahawan bukan sahaja di bandar, malah
di desa," katanya.
"Itulah sebabnya Kelab Peminat Gemilang diwujudkan dengan sasaran
20,000 ahli di seluruh negara, selain tiga ikon usahawan akan dipilih di
setiap negeri yang dilawati oleh program Jelajah Gemilang Usahawan
ini," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 14/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan