KUALA LUMPUR 13 Mei - Ketiadaan pemimpin
pembangkang terutamanya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memberi
kenyataan bela terhadap dakwaan isu skandal seks Azmin Ali menunjukkan
mereka telah dapat menghidu perilaku sebenar Timbalan Presiden PKR
tersebut.
Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI),
Muhammad Zahid Md. Arip menegaskan, sikap berkecuali itu sekali gus
menunjukkan para pemimpin PKR tidak mahu terlibat dan campur tangan
dalam isu tersebut.
"Azmin sekarang sudah menjadi satu liabiliti dalam PKR. Malah, dalam
PKR sendiri, adalah menjadi satu 'dosa besar' sekiranya ada yang berniat
untuk menjatuhkan Anwar dan menentang Azmin.
"Ekoran 'dosa besar' itu, tiada pemimpin pembangkang yang berani
tampil untuk memberi kenyataan bela atau campur tangan dalam isu skandal
Azmin kerana mereka tahu perilaku buruk Azmin yang sebenarnya," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan wartawan The Star, Joceline Tan dalam
kolumnya yang mengatakan tiada seorang pun pemimpin parti-parti
pembangkang termasuk PKR tampil membela Azmin berhubung isu tersebut.
Joceline menerusi kolumnya turut memetik beberapa pemimpin dalam PKR
yang terus berdiam diri termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid
Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib
Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Malah menurut Joceline, Azmin yang mengharapkan Anwar menjadi orang
pertama untuk membelanya tidak berbuat demikian sehingga beliau terpaksa
mengambil cuti dari parti itu berkuat-kuasa serta merta.
Menurut Muhammad Zahid, pemimpin PKR lebih mengenali Azmin dan tahu perangai sebenarnya.
"Sudah terang lagi bersuluh, kalau Azmin berada di pihak yang benar,
kenapa dia takut untuk tampil membuat sumpah laknat atau laporan polis
bagi menyatakan kebenaran," jelasnya.
Tambahnya, sikap Azmin itu menunjukkan ciri-ciri pemimpin yang berjiwa 'tikus', dayus dan bacul.
Dalam nada sama, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Ruslan Kasim berkata, pemimpin pembangkang lain sudah lama
tahu keburukan perilaku Azmin.
"Pembangkang tahu perangai buruk Azmin yang sebenar. Sebab itu, tiada
siapa tampil membelanya kerana mereka tidak mahu bersekongkol untuk
menafikan perkara benar.
"Kalau ada salah laku melibatkan Barisan Nasional, sepantas kilat
Khalid menuntut perkara yang bukan-bukan termasuk menubuhkan
jawatankuasa.
"Namun, bila terjadi pada ahli politik mereka, diam seribu bahasa
pula dan tidak menafikan sama ada ia benar atau tidak. Masakan pokok
boleh bergoyang jika tiada angin," jelasnya.
Tambahnya, selaku Menteri Besar, Khalid sepatutnya tampil untuk
membuat kenyataan mengenai tindakan disiplin terhadap Exco kerajaan
negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor yang terlibat dengan
skandal seks.
/HWA: utusan.com.my | 14/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan