LONDON 14 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
melancarkan Rakan Barisan Nasional (BN) UK yang akan bergerak aktif
menggalakkan hubungan rapat dengan United Kingdom dan menyebarkan
maklumat yang tepat, tepat masa dan boleh dipercayai kepada warga
Malaysia di negara ini.
Beliau berharap kumpulan unik ini dapat menangani isu-isu.
"Banyak perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini
dan kami mahu memastikan anda dapat tahu mengenainya. Ekonomi kita telah
diliberalisasikan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan
kekayaan di kalangan rakyat biasa di Malaysia," kata Najib yang tiba di
sini pagi ini bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, untuk lawatan
kerja dua hari.
Mesejnya kepada rakyat Malaysia di UK ialah, “sila berhubung lebih
rapat dengan Malaysia dan memainkan peranan besar dalam pembangunan
negara, sama ada dengan balik ke tanahair - kurang bercita-cita besar
tetapi tidak kurang pentingnya - dengan berkongsi kepakaran anda dengan
institusi negara dari pangkalan anda di Britain".
"Ada tempat di bumi Malaysia bagi semua warga kita baik lelaki dan
wanita tanpa mengira siapa mereka dan bagaimana mereka mahu menyumbang.
Setiap orang mempunyai peranan mereka, setiap orang boleh melakukan
sesuatu dan setiap orang boleh maju dan makmur, katanya semasa
melancarkan Rakan BN UK di Dewan Negara, di sini.
Selain Rosmah, turut hadir di majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia ke UK Datuk Seri Zakaria Sulong dan isteri Datin Hazizah
Zakaria, dan juga beberapa tokoh masyarakat Britain seperti Lord Howell
of Guildford dan Lord Sheikh of Cornhill.
Dalam ucapan di hadapan lebih 100 orang pada pelancaran itu, Najib berkata:
“Negara kita masih muda dan perjalanan di hadapannya adalah sesuatu
yang menarik, jadi saya mahu anda mengikuti perkembangan tentang apa
yang berlaku di tanahair dan bersedia untuk melangkah dan memainkan
peranan anda."
Perdana Menteri berkata beliau telah menyebut sebelum ini bahawa era "kerajaan lebih tahu" telah lama berakhir.
"Tugas kerajaan yang paling penting hari ini bukan hanya setakat
mendengar tetapi benar-benar mendengar suara rakyat...dan itu bermakna
anda juga," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 14/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan