Pages

23 Mei 2012

Muzakarah: Pas perlu ikhlas

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pas perlu ikhlas tanpa meletakkan sebarang syarat jika mahu muzakarah dengan UMNO direalisasikan demi masa depan umat Islam negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia termasuk mengetepikan soal membentuk kerajaan campuran, sebaliknya, memberi tumpuan kepada kerjasama dalam isu-isu tertentu.
"Muzakarah ini perkara baik. Apa salahnya UMNO dan Pas berbincang dari hati ke hati dengan penuh keikhlasan untuk mencari persamaan demi masa depan ummah.
"Saya yakin di pihak UMNO termasuk pemimpin dan ahli amat mengalu-alukan perkara ini tetapi apa yang kita bimbang rakan kita dalam Pas, sekarang ini pun nampak ada perbezaan dalam kalangan mereka dan tidak konsisten dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis penerangan mengenai dasar kerajaan dan isu semasa kepada pesara guru Parlimen Bagan Datoh, di sini hari ini.
Mohd. Puad mengulas pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan sekarang adalah waktu paling sesuai bagi menjayakan muzakarah antara parti itu dan UMNO.
Namun Menteri Besar Kelantan itu turut meletakkan syarat supaya UMNO menukar dasar kebangsaannya dan perlu menerima Pas serta pembangkang jika kedua-dua parti itu menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu dan Islam.
Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, kerajaan amat terbuka menerima setiap pandangan dan teguran dalam muzakarah itu untuk manfaat kedua-dua parti.
Katanya, ia memandangkan UMNO merupakan parti yang inklusif dan menekankan mengenai pendekatan wasatiyah serta tidak mengamalkan fahaman politik sempit.
"Saya yakin ada yang boleh kita perbaiki dan UMNO amat terbuka serta sedia menerima apa yang boleh dilakukan antara kedua-dua parti. Contohnya apabila timbul isu penambahbaikan sistem pilihan raya, kita setuju mewujudkan sebuah jawatankuasa," katanya.
Ditanya mengenai syarat Nik Abdul Aziz, Mohd. Puad beranggapan menteri besar itu mungkin terperangkap dengan tekanan orang dalam Pas sendiri yang tidak bersetuju dengan muzakarah tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan