Pages

23 Mei 2012

Muzakarah sesama pemimpin Pas dahulu

MARANG 20 Mei - Para pemimpin Pas sewajarnya mengadakan muzakarah sesama mereka terlebih dahulu sebelum bermuzakarah dengan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana, pada masa ini wujud percanggahan pendapat dalam kalangan mereka sehingga mengelirukan ahli dan rakyat khususnya umat Islam.
"Pas pun bercelaru. Ada pemimpin mereka yang bantah dan ada yang sokong. Ada yang kenakan syarat seolah-olah tidak ikhlas nak bermuzakarah demi kebaikan ummah.
"Jadi, sebelum bermuzakarah dengan UMNO, mereka kena muzakarah sesama mereka terlebih dahulu," katanya selepas menghadiri Program Mesra Rakyat Bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Padang Bola Mercang dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad.
Shafie diminta mengulas kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuka pintu bermuzakarah dengan pertubuhan bukan kerajaan termasuk UMNO.
Malah Nik Abdul Aziz turut mencadangkan supaya ia diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 yang disifatkannya waktu paling sesuai namun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan ia sukar selagi sistem pilihan raya tidak diperbetulkan.
Shafie berkata, walaupun usaha mengadakan muzakarah antara Pas dan UMNO merupakan jalan terbaik namun keikhlasan parti itu diragui berikutan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin mereka.
Pada masa yang sama, beliau mengakui tidak yakin muzakarah Pas-UMNO akan menjadi kenyataan memandangkan hasrat serupa pernah beberapa kali disuarakan namun menemui kegagalan.
"Saya kurang yakin muzakarah ini akan berlangsung sebab dah kerap berlaku sebelum ini tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. Mereka (pemimpin Pas) sering berdolak-dalik demi kepentingan politik mengatasi kepentingan agama, bangsa dan negara," jelasnya.
Kata beliau, kecelaruan dalam kalangan pemimpin Pas berkaitan isu muzakarah itu membuktikan parti berkenaan tidak lagi relevan dan semakin tidak menentu.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan