Pages

20 Mei 2012

Najib bawa Malaysia ke landasan betul

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my

LAWATAN kerja dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat yang berakhir kelmarin, ringkas tetapi padat. Kehadiran Najib ke New York amat penting kerana beliaulah yang mempelopori penubuhan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dianggotai 35 tokoh ternama dalam pelbagai bidang, terutama sains dan teknologi dari seluruh dunia yang digabungkan dengan pakar Malaysia. Selepas genap setahun sejak mesyuarat pertama tahun lalu, banyak kemajuan sudah dicapai.

Mesyuarat kedua di New York untuk menilai kemajuan seterusnya menentukan pelaksanaan semua inisiatif yang dirangka supaya selari dengan arah tuju dan matlamat penubuhan GSIAC dan hasrat Perdana Menteri menjadikan Malaysia tempat tinggal sempurna untuk rakyatnya. Majlis ini akan terus meneliti suasana dan keperluan negara serta menentukan cara terbaik menyelesaikan masalah berasaskan inisiatif yang boleh menggariskan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Jika selama ini rakyat diyakinkan dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan ekonomi pengetahuan tinggi, ia bukanlah cakap kosong. GSIAC turut bertanggungjawab memastikan janji menjadikan Malaysia sebagai negara maju satu realiti.

Seperti mana ditegaskan Najib, GSIAC adalah manifestasi daripada komitmen kerajaan memanfaatkan pembangunan sains dan teknologi sebagai platform menggerakkan negara mencapai pendapatan tinggi dalam tempoh satu dekad. Beliau mahu GSIAC memikirkan cara meningkatkan ekonomi dan sosial rakyat di bandar dan luar bandar menggunakan maklumat dan teknologi komunikasi secara bijak. Setiap ahli majlis khasnya dari negara luar memberi pandangan mereka berasaskan pengalaman di negara mereka dan digabungkan dalam GSIAC.

Semua ini dilaksanakan menggunakan kekuatan pelbagai sektor dan pelbagai cara, termasuk menggabungkannya dengan projek komuniti bestari ke arah melakukan transformasi perkhidmatan kepada rakyat. Ia juga mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk menampung keperluan tenaga kerja yang akan diwujudkan nanti.

GSIAC perlu memikirkan bentuk pekerjaan yang akan diwujudkan berasaskan pembangunan negara akan datang. Salah satu cara yang akan memberi impak yang besar ialah melalui pelajaran. Inilah timbulnya inisiatif dari ‘buaian ke kerjaya’ yang akan mentransformasi pelajaran kebangsaan berasaskan metodologi yang dirintis di Amerika Syarikat dan terbukti berjaya meningkatkan kemajuan pelajar melalui sistem sekolah dari peringkat paling awal alam kanak-kanak hinggalah tamat belajar di universiti atau kolej. Dengan sokongan State University of New York (SUNY) dan Akademi Sains New York (NYAC) banyak idea yang ditimba. Cuma, tidak semua pendekatan AS boleh diterima bulat-bulat di Malaysia. Ini tentunya memerlukan kajian awal untuk memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Satu lagi keputusan penting untuk masa depan Malaysia ialah mengenai inisiatif MYBiomas yang diterajui Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dengan sokongan FELDA dan Sime Darby. Projek biomas menggunakan sisa industri sawit sebagai bahan untuk menjana kuasa elektrik. Mengikut Inisiatif MYBiomas (MBI), ujian ke atas kelapa sawit dijalankan bagi menentukan proses dan hasilnya yang lumayan.

Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) akan bekerjasama mengkaji impak kedudukan tanah berhubung jumlah biomas yang dikeluarkan dari ladang.

Dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Petronas Chemical, syarikat kimia dari seluruh dunia, penyedia teknologi, pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI), institusi penyelidikan dan akademia, di samping peneroka generasi ketiga, ia akan mencapai matlamat memajukan hab kimia hijau yang berdaya saing menjelang 2025.

Inisiatif lain ialah pelan induk Digital Malaysia diterajui Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang akan mencetus dan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memaksimumkan penggunaan maklumat dan teknologi komunikasi.

GSIAC juga melihat setiap aspek dan keperluan Malaysia, termasuk soal keselamatan makanan. Ini dilakukan dengan menjalankan kajian berhubung cara perladangan, hasil yang dikeluarkan dan apa juga kesan terhadap pasaran. Semua ini dilakukan dengan kalkulatif.

Kehadiran Perdana Menteri di New York tidak lengkap jika beliau tidak bertemu pelabur dan kapten industri. Mereka mahu bertemu Najib kerana mahukan maklumat dan mencari peluang pelaburan. Jika andaian mengatakan pelabur asing menolak Malaysia, itu adalah tidak benar. Banyak petunjuk menyatakan Malaysia berada pada landasan yang betul.
 
/HWA: bharian.com.my | 19/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan