JERANTUT 8 Mei - Terkejut, menangis dan ada yang menjerit melaungkan
terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas
pengumuman durian runtuh sempena penyenaraian Felda Global Ventures
Holdings (FGVH) yang dibuat di Felda Jengka 8 di sini hari ini.
Malah golongan isteri peneroka yang turut menerima bahagian durian
runtuh sebanyak RM5,000 setiap seorang dilihat begitu gembira sehingga
ada yang berpelukan antara satu sama lain.
Justeru, di akhir majlis tersebut, Najib dikerumuni oleh para
peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu bersalam, bergambar dan
mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.
Keseluruhannya seramai 50,000 warga peneroka hadir pada Majlis
Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri yang diadakan di padang Felda
Jengka 8, dekat sini.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kumpulan
peneroka yang memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda
Global Ventures Holdings (FGVH) sebagai pengkhianat.
Justeru, Perdana Menteri mencabar kelompok peneroka yang menghalang
usaha murni kerajaan itu supaya tidak mengambil durian runtuh yang
diumumkan hari ini untuk warga Felda.
Menurutnya, mereka ini sebenarnya bermuka tebal sama seperti kelompok
yang dahulunya mahu menjual Putrajaya, tetapi kini mereka juga yang
beria-ia mahu menakluk Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
"Saya nak tengok muka-muka mereka itu nak ambil ke tak,'' katanya
ketika berucap pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di
Felda Jengka 8 di sini hari ini.
Tegas Najib, pembangkang sebenarnya sudah ketandusan modal dalam
usaha memenangi hati nurani rakyat seperti yang berjaya dilakukan
kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kata beliau, sebab itu pembangkang terpaksa mencari peneroka yang
sanggup bersama mereka menghalang penyenaraian itu menerusi tindakan
mahkamah semata-mata untuk mensabotaj usaha baik kerajaan.
"Yang baik dipolitikkan, yang menguntungkan diselewengkan kenyataan
dan fakta supaya pemikiran rakyat bercelaru dan boleh salahkan UMNO.
"Sampai anak yang tak pedulikan ibu pun boleh salahkan UMNO. Hebat
sangatlah UMNO sampai dalam kelambu pun kita ada pengaruh,'' jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan