Pages

13 Mei 2012

Pas, DAP tidak boleh bekerjasama - Zulkifli

KUANTAN 11 Mei - Pas dan DAP tidak akan boleh bekerjasama antara satu sama lain kerana umum telah mengetahui dua parti politik itu berada dalam satu pakatan songsang dan luar tabii.
Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin kedua-dua parti itu sering kali berlaku terutama dalam hal yang melibatkan isu agama Islam.
"Sudah-sudahlah Pas bersama DAP dan pakatan pembangkang. Berpecahlah kerana mereka tidak akan boleh untuk bekerjasama antara satu sama lain.
"Lebih baik Pas bergerak sendiri seperti sewaktu ketika dahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pendengaran awam mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di sini hari ini.
Akhbar kelmarin melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata, jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan diselesaikan, serta penetapan gaji minimum dibuat.
Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam, membidas Abdul Hadi dengan mengatakan Pas tidak berhak bercakap bagi pihak pakatan pembangkang bahawa mereka akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.
Karpal juga berkata, Presiden Pas itu memang selalu berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.
"Adalah dikesali, Abdul Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang kemudian ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi dengan Addin, walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam sebagai agama rasmi.
"Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan sedemikian. Saya berharap Abdul Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu," kata Karpal dalam satu kenyataan.
Pengerusi DAP itu juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan