Pages

13 Mei 2012

Projek RM600 juta tanpa tender

KUALA LUMPUR 11 Mei - Pemuda Gerakan Kedah hari ini menyerahkan memorandum meminta penjelasan berhubung pemberian dua projek berjumlah RM600 juta oleh Kerajaan Pas Kedah tanpa tender terbuka kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, pihaknya hairan bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan dalam Buku Jingga pakatan pembangkang telah berjanji akan melaksanakan tender terbuka bagi semua projek yang dijalankan di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.
"Rakyat Kedah ingin mengetahui apakah polisi sebenar pakatan pembangkang? Adakah hanya janji-janji kosong di Buku Jingga yang mana dua projek ini tidak dibuat melalui tender terbuka.
"Adakah Buku Jingga hanya retorik untuk meraih undi daripada rakyat. Kita mahu Anwar memberi penjelasan sebagai Ketua Pembangkang mengenai perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najwan Halimi di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini menegaskan tidak akan melayan kenyataan Keng Liang yang mendakwa pelaksanaan dua projek pembangunan komersial iaitu Aman Central dan Amansuri Residences tidak dilakukan secara tender terbuka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah pula menjelaskan bahawa perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia merupakan projek swasta.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan