Pages

9 Mei 2012

Retorik Hadi pinda Perlembagaan

Pada 8 Mei 2011, dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blog beliau bertajuk, "Pakatan Rakyat Memperkasakan Islam Sebagai Agama Rasmi Negara Malaysia" Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan;
''Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini. Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.''
Malahan dalam kenyataan itu juga, Abdul Hadi menegaskan, ''Kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan UMNO yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun ini.
Tetapi secara tiba-tiba pada 1 Mei lalu kita dikejutkan dengan kenyataan Abdul Hadi bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Abdul Hadi berhujah, Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai di negara ini tidak menggunakan Islam sebagai addin atau cara hidup, malah ia dirangka oleh orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam.
Dalam soal ini bagi setiap umat Islam, mereka sama sekali tidak akan menolak sebarang usaha untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup atau addin.
Ini kerana Islam adalah satu cara hidup yang sempurna, yang dicipta sendiri oleh Allah SWT dan juga merupakan nikmat Allah kepada kita, ia termaktub dalam firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 03 yang bermaksud:
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu juga aku reda Islam menjadi agama untuk kamu.''
Tetapi apa yang menjadi persoalan ialah adakah Abdul Hadi dan Pas akan benar-benar berjaya mempengaruhi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk melakukan pindaan Perlembagaan ini.
Dalam satu tulisan tidak lama dulu, Ketua Unit Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Mohd Ayop Abd Razid menegaskan, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah "agama bagi Persekutuan".
''Perkara 3 harus dipertahankan kerana peruntukan inilah yang meletakkan Islam berdaulat di negara ini. Ini adalah kerana peruntukan tersebut menyentuh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam,'' katanya.
Sebab itulah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, way of life (cara hidup) sahaja tidak boleh menjadi undang-undang.
"(Dalam perlembagaan negara) Islam adalah agama Persekutuan. Daripada situ kita boleh bangunkan Islam melalui dasar dan institusi yang kita wujudkan supaya Islam jadi addin atau sebagai cara hidup. Jadi tak perlu pinda Perlembagaan," kata Najib.
Oleh itu kenapakah secara tiba-tiba Abdul Hadi bercakap soal mahu meminda Perlembagaan berhubung kedudukan agama Islam ini?
Apakah ia benar-benar tulus ikhlas atau semata-mata bermotif politik bagi menarik perhatian umat Islam bahawa Pas masih lagi memperjuangkan Islam.
Jika itulah niat beliau, kenyataan Abdul Hadi boleh dianggap retorik semata-mata kerana parti-parti dalam pakatan pembangkang tidak akan mudah menerima hasrat untuk menjadi Islam sebagai addin.
Abdul Hadi tidak harus lupa bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 8 Mei 2011 telah menegaskan bahawa, "Saya ingin mengulangi pendirian DAP... kita dukung Perlembagaan Persekutuan yang kita buat secara hitam putih. (Kita) sudah tandatangani semua dokumen bahawa kita sokong Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama Persekutuan Malaysia.''
Oleh itu bagaimana mungkin Abdul Hadi boleh membuat kenyataan menyatakan kesepakatan sudah dicapai di kalangan pakatan pembangkang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan tersebut.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad bertanya, kenapa ia mahu di ubah dan apa yang salahnya dengan pernyataan Perlembagaan itu?
"Apakah Perlembagaan itu mengelirukan orang Islam dan menyusahkan penganut agama lain? Juga apakah ia memberi ketidakadilan kepada agama lain? Jika jawapannya ya, maka saya berpandangan memang wajarlah bagi Abdul Hadi berusaha mengubahnya.
''Tetapi jika kepada semua persoalan tadi jawapannya ialah tidak, maka kenapa harus Abdul Hadi cuba menjadi hero dengan menjanjikan bulan bintang bahawa pembangkang akan mengubah pernyataan Perlembagaan yang telah lama wujud itu,'' katanya ketika dihubungi.
Selain itu, Ahmad Masrizal berkata, beliau keliru dan tidak faham kerana dalam banyak-banyak perkara Perlembagaan, kenapa perkara itu yang menjadi perhatian Abdul Hadi untuk diubah.
'' Apakah Abdul Hadi sudah ketandusan idea mencari perkara lain dalam Perlembagaan untuk dibuat perubahan? Atau apakah Abdul Hadi dalam keadaan begitu terdesak untuk menarik kembali sokongan orang Islam terhadap parti itu yang semakin menipis ekoran pelbagai tindakan Pas mutakhir ini,'' katanya.
Beliau juga mempersoalkan kenapakah baru sekarang perkara ini dibangkitkan? Kenapa Pas tidak mempersoalkan perkara ini daripada dulu? ''Rumusan yang boleh saya katakan melalui kenyataan Abdul Hadi itu ialah ia bukan berjaya menarik kembali sokongan orang Melayu kepada Pas dan pakatan pembangkang tetapi ternyata ia telah menyebabkan orang Melayu semakin gusar, bimbang, takut, keliru dan bertambah tidak yakin dengan mereka,'' katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan, ternyata umpan yang Abdul Hadi guna kali ini telah menyentap kembali dirinya ke dalam kemelut yang tidak berkesudahan yang diciptanya sendiri, katanya.
Hakikatnya, jika Pas benar-benar hendak menjadikan Islam sebagai cara hidup dan menjadikan ia sebagai perjuangan utama sudah pasti Pas tidak akan tergamak untuk 'mengkuburkan' perjuangannya menubuhkan negara Islam dan menggantikannya dengan perjuangan negara berkebajikan.
Pas bukanlah parti yang konsisten, sebaliknya bersedia menggadaikan prinsip perjuangan sendiri semata-mata untuk memburu kuasa politik.
Tindakan ini jauh bezanya dengan UMNO yang sejak merdeka lagi sentiasa memastikan Islam sentiasa diletakkan di tempat tertinggi.
Sebab itulah UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan negara telah melaksanakan dasar-dasar penerapan Islam sehingga memungkinkan pelaksanaan Islam di negara ini menjadi contoh kepada negara Islam lain.
Oleh itu adalah jelas kenyataan Abdul Hadi mengenai pindaan Perlembagaan itu hanya retorik politik semata-mata bagi meraih sokongan umat Islam yang sebahagian besarnya semakin keliru dengan perjuangan Islam parti itu.
Justeru tidak perlulah Abdul Hadi atau Pas beretorik lagi, seperti mana kata ulama muda, Fathul Bari Mat Jahaya, hasrat Pas hendak meminda Perlembagaan itu hanya menunjukkan mereka tidak memahami kemaslahatan yang lebih besar sebaliknya hanya mahu meraih sokongan politik sahaja.
/HWA: utusan.com.my | 7/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan