Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun
Razak bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd
Shafie Apdal (kanan) meninjau aktiviti pada Karnival RTC Kelantan
sempena perasmian RTC itu, semalam.
*****
KOTA BHARU 4 Mei - Pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di
Kelantan dan Perak akan dapat menjayakan agenda transformasi luar
bandar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie
Apdal berkata, kementerian beliau akan memastikan kedua-dua pusat
berkenaan padat dengan kegiatan ekonomi bagi memastikan hasrat kerajaan
merapatkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar berjaya.
Menurutnya, hasrat kerajaan tersebut telah menampakkan hasil dengan
pelancaran RTC Gopeng, Perak sebelum ini di mana pendapatan petani
berjaya ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM3,000 sebulan.
"Seramai 1,500 turut berjaya mendapat pekerjaan, jadi ini merupakan
kebaikan yang diperolehi," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran
RTC Kelantan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di sini,
hari ini.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan pelbagai acara
menarik, antaranya karnival pekerjaan, gerai jualan dan pameran pelbagai
agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, RTC Kelantan akan turut
menempatkan beberapa buah bank bagi menyediakan pembiayaan projek luar
bandar kepada masyarakat setempat.
Selain itu, kata beliau, ia akan turut menempatkan pelbagai
kementerian yang dilakukan melalui Strategi Lautan Biru supaya
masyarakat luar bandar mendapat manfaat termasuk dari Terengganu, Pahang
dan sebahagian penduduk Perak.
Beliau turut berpendapat, aktiviti perdagangan membabitkan produk pertanian di RTC Kelantan lebih matang berbanding RTC Gopeng.
"Saya harap masyarakat luar bandar di Kelantan khususnya akan terus
menyambut baik dan memberi kerjasama untuk memastikan supaya ini akan
dapat mengurangkan lagi jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan
luar bandar," katanya.
Mohd Shafie berkata, penubuhan RTC lebih baik berbanding demonstrasi haram yang melibatkan pembangkang di Kuala Lumpur.
Ini kerana, kata beliau, penubuhan RTC di Kelantan dan Perak tidak
menghancurkan masa depan rakyat malah memberi peluang pekerjaan dan
meningkatkan pendapatan mereka.
"Kalau kita lakukan demonstrasi yang rosakkan jalan raya dan
bangunan, peluang perniagaan akan merosot dan polis pun patah tulang
gigi, mana kebaikannya.
"Di RTC, kita jual sayur dapat tingkat pendapatan jauh lebih baik dan
kalau ada pembangkang nyatakan ini satu langkah tak baik, maka langkah
yang baik mereka buat rusuhanlah; dan rakyat harus memilih antara
rusuhan dan kebaikan untuk pembangunan negara kita," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 5/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan