Pages

7 Mei 2012

Anwar sanggup gadai prinsip perjuangan demi kuasa politik

BAGAN DATOH 4 Mei - Datuk Seri Anwar Ibrahim kini semakin terdesak untuk memegang tampuk kuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip perjuangan terdahulu dengan merelakan beliau diperalat oleh pemimpin dan parti DAP yang pernah dibencinya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Anwar yang pernah dikenali sebagai pemimpin yang paling membenci DAP, kini berubah pendirian, malah secara terbuka mengakui sanggup diperalatkan parti itu.
Sambil menyifatkan Ketua Pembangkang itu sebagai 'desperado politik', Ahmad Zahid berkata, tindakan Anwar itu hanya akan memakan diri sendiri dan merosakkan negara.
''Anwar yang saya pernah kenal dulu tidak bersikap demikian. Ini memperlihatkan beliau sekarang berada dalam keadaan yang sangat terdesak.
''Dulu beliaulah antara pemimpin UMNO yang cukup membenci DAP tetapi kerana terdesak, maka beliau bukan sahaja gadaikan prinsip perjuangannya, malah sanggup menjadi alat DAP," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Simpang Tiga di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan terbuka Anwar dalam ceramahnya di Ipoh baru-baru ini, bahawa beliau sanggup menjadi alat DAP jika ia boleh membantu pakatan pembangkang berkuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan berkata, beliau lebih mempercayai Penasihat DAP, Lim Kit Siang daripada pemimpin-pemimpin UMNO.
Ahmad Zahid bagaimanapun mengingatkan Anwar bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya mendorong mana-mana pemimpin melupakan tanggungjawab dan prinsip terutamanya dalam mempertahankan Perlembagaan negara.
''Kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja Melayu, hak dan keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu... semua ini jangan kita lupa. Jangan kerana marah nyamuk, kelambu dibakar, jangan bertindak semberono sehingga merosakkan diri dan negara," tegas beliau.
Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa memburu perusuh perhimpunan Bersih 3.0, Ahmad Zahid berkata, polis sejak awal lagi bersikap profesional demi menjaga keselamatan sepanjang perhimpunan itu, tetapi peserta yang didukung parti pembangkang bertindak ganas.
''Kita diberitahu ada video-video yang membuktikan peserta yang memulakan tindakan provokasi dan merempuh penghadang memasuki Dataran Merdeka. Sudah tentulah, polis perlu bertindak dan mereka yang melanggar peraturan dan melakukan kerosakan wajar bertanggungjawab," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my |  5/5/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan