KUALA LUMPUR 17 Mei - Tindakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
meninggalkan Institut Integriti Malaysia (IIM) untuk terlibat dalam
politik merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh bekas Naib
Pengerusi DAP itu.
Ahli Lembaga Pengarah IIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim
berkata, badan tersebut yang pernah diterajui Abdul Aziz merupakan
platform terbaik untuk beliau berkhidmat kepada masyarakat dalam usaha
membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya tahan, menghayati serta
mengamalkan nilai-nilai integriti dan etika.
"Saya rasa ini kesilapan besar beliau terjebak dalam politik. Dahulu
dalam IIM, badan itu memang baik, jadi mengapa mahu terlibat dalam
politik?
"Kalau kita benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat dan mahu
teruskan dalam IIM, jangan terlibat dalam politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bekas Presiden IIM itu semalam, mengakui bekas partinya cuba merasuah
beliau sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan
jawatannya selain ditawarkan jawatan sebagai fello kanan di Institut
Penang, sebuah badan pemikir milik kerajaan negeri.
Namun, kata Abdul Aziz, sebagai seorang pemimpin veteran parti yang
berpegang teguh kepada prinsip keluhuran demokrasi, beliau tidak boleh
menerima tawaran tersebut dan memutuskan tindakan melepaskan jawatan
serta meninggalkan DAP adalah tepat.
Dalam konteks itu, Kay Kim berkata, jika benar Abdul Aziz seorang
yang berpendirian sebegitu, beliau sepatutnya dari awal lagi tidak
menyertai DAP.
Ini kerana, jelas pensyarah Universiti Malaya itu, DAP disifatkan
sebuah parti yang bermasalah kerana tidak ada hala tuju dan perjuangan
parti yang kabur.
"DAP tiap-tiap hari ada masalah, parti itu dengan Pas pun selalu bergaduh walaupun sama-sama dalam pakatan.
"Kita sebenarnya keliru apa perjuangan sebenar mereka (DAP dan Pas). Mereka sebenarnya berdiri di mana?," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 18/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan