20 Mei 2012

Tunku Abdul Aziz silap langkah - Khoo Kay Kim

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tindakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meninggalkan Institut Integriti Malaysia (IIM) untuk terlibat dalam politik merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh bekas Naib Pengerusi DAP itu.
Ahli Lembaga Pengarah IIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, badan tersebut yang pernah diterajui Abdul Aziz merupakan platform terbaik untuk beliau berkhidmat kepada masyarakat dalam usaha membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya tahan, menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan etika.
"Saya rasa ini kesilapan besar beliau terjebak dalam politik. Dahulu dalam IIM, badan itu memang baik, jadi mengapa mahu terlibat dalam politik?
"Kalau kita benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat dan mahu teruskan dalam IIM, jangan terlibat dalam politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bekas Presiden IIM itu semalam, mengakui bekas partinya cuba merasuah beliau sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya selain ditawarkan jawatan sebagai fello kanan di Institut Penang, sebuah badan pemikir milik kerajaan negeri.
Namun, kata Abdul Aziz, sebagai seorang pemimpin veteran parti yang berpegang teguh kepada prinsip keluhuran demokrasi, beliau tidak boleh menerima tawaran tersebut dan memutuskan tindakan melepaskan jawatan serta meninggalkan DAP adalah tepat.
Dalam konteks itu, Kay Kim berkata, jika benar Abdul Aziz seorang yang berpendirian sebegitu, beliau sepatutnya dari awal lagi tidak menyertai DAP.
Ini kerana, jelas pensyarah Universiti Malaya itu, DAP disifatkan sebuah parti yang bermasalah kerana tidak ada hala tuju dan perjuangan parti yang kabur.
"DAP tiap-tiap hari ada masalah, parti itu dengan Pas pun selalu bergaduh walaupun sama-sama dalam pakatan.
"Kita sebenarnya keliru apa perjuangan sebenar mereka (DAP dan Pas). Mereka sebenarnya berdiri di mana?," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 18/5/12

Tiada ulasan: