20 Mei 2012

UMNO bashing semakin berjaya dipulih

PENDUDUK Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara dan Lembah Subang tempoh hari terkejut apabila sewa rumah tiba-tiba dinaikkan daripada RM124 kepada RM250 sebulan. Mereka mengeluh. Apa sudah jadi dengan kerajaan PKR Selangor? Mana janji pilihan raya umum lepas hendak mengutamakan rakyat negeri. Berkuburkah?
Rata-rata masyarakat di dua kawasan itu berpendapatan bawah RM600 sebulan. Penghuninya pun orang susah. Ada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.
Di Kampung Bunga Raya, Petaling Jaya lain pula kisahnya. Kira-kira 57 keluarga di situ bertindak mogok lapar menuntut kerajaan Selangor menunaikan janji untuk menyediakan rumah baru buat mereka. Ahli Parlimen PKR Subang, R. Sivarasa didakwa pernah berjanji yang setiap keluarga di Jalan Pluto, Petaling Jaya akan dapat rumah baru. Omongan janjinya sampai sekarang tak tahu ke mana.
Kampung Sg. Kerandong, Kuala Kubu Baru ada cerita tersendiri. Ia berkaitan pengambilan tanah lesen duduk sementara (TOL) sehingga dikatakan penduduk kehilangan ladang. Kira-kira 200 penduduk kampung dikatakan terlibat.
Gagal urus rumah ibadat juga antara resume PKR. Sebelum 2008, kerajaan BN Selangor mencadangkan sebuah kuil di Seksyen 19, Shah Alam dipindahkan ke Seksyen 22. Namun setakat ini tiada perkembangan positif. Pembangkang menyedari bahawa mereka banyak menabur atau menjaja janji, tapi tak tunaikan. Itu belum lagi masuk isu-isu curi pasir, batal projek Yayasan Basmi Kemiskinan.
Kebelakangan ini memang ternampak hasil perubahan yang digerakkan BN. Di peringkat Pusat, mereka (rakyat Selangor) 'yang kian jemu ini' dengan kerenah dan gelagat kepimpinan PKR negeri ditangani pula oleh transformasi. Mereka merasakan kehidupan diperbaharui semula oleh perubahan.
Malah jauh dari Selangor, yakni di Kelantan, gelombang medan transformasi ini merebak. Ada pendapat yang agak keterlaluan mengatakan BN ada peluang besar untuk memandu rakyat Kelantan kembali kepada kerajaan. Daripada ceramah-ceramah di negeri Cik Siti Wan Kembang, dilihat seperti ada kebangkitan sokongan rakyat negeri kepada BN. Diyakini BN boleh menang dan mengatasi kemenangan tipis Pas pada PRU 2004.
"Hanya parti atau seseorang yang dapat menguruskan permainan persepsi, pengurusan angka dan seni pemasaran boleh berjaya pada PRU-13 nanti," kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan (gambar) kepada penulis semalam.
Ketika ini semua parti politik sejak 2008 bekerja cukup keras untuk meyakinkan rakyat bahawa semua yang terbaik datang daripada mereka.
"Dalam masa globalisasi ini, kita lihat soal padang permainan adalah sama rata khususnya kalau diteliti dalam media baru (sosial) yang mana kalau dapat digunakan, ia akan berjaya sama ada mahu menggambarkan sesuatu itu buruk atau berjaya.
"Dalam soal ini, sejak 2004 lagi sampai sekarang, kita dapat lihat usaha-usaha peribadi dan isu-isu fitnah atau separuh benar dimainkan dengan begitu hebat. Jarang dalam sejarah negara begitu banyak dimainkan isu-isu peribadi ini. Ini banyak digunakan oleh pihak berkenaan.
"Dalam keadaan sekarang, politik baru telah mengangkat kepada isu-isu yang bersifat merentasi kaum. Contoh isu merentasi kaum seperti rasuah dan urus tadbir, keselamatan, isu sosial serta harga barang. Memang semua isu ini akan membangkitkan kemarahan rakyat atau sebaliknya berupaya memenangi hati rakyat. Cuma, sesiapa yang dapat menguruskan atau menjawab isu-isu dengan tuntas, ia akan berjaya menangani masalah-masalah ini," kata beliau.
Pada masa-masa lepas, UMNO diserang dengan tanggapan yang buruk, ketara sekali pada 2008. Ia berkaitan 'UMNO Bashing' (mengutuk dan merendah- rendahkan UMNO) iaitu apa sahaja masalah dalam negara dikaitkan dengan UMNO - jalan berlubang 'semua ini pasal UMNO', demikian juga 'naik barang' dan 'minyak naik'. Bashing ini menyebabkan UMNO dipandang rendah.
Namun, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara, tanggapan 'bashing UMNO' ini semakin berjaya disembuhkan. Pertama, ia berlaku apabila Najib berjaya menguruskan suasana ekonomi negara daripada kemelesetan dunia.
"Ramai menjangkakan krisis ekonomi 2007/2008 akan menyebabkan Malaysia tergelongsor teruk tetapi jangkaan itu meleset sebaliknya terkawal menerusi pengurusan ekonomi oleh Najib. Justeru, kritikan bertalu- talu ini dapat diredakan," kata Fuad.
Malahan selepas satu tunjuk perasaan anjuran sebuah 'pertubuhan' haram yang disokong kuat parti-parti pembangkang, Najib masih menunjukkan sikap terbuka, damai dan toleransi dengan parti lawan, kata beliau.
"Rakyat nampak keikhlasan beliau di sebalik keangkuhan dan sisi gelap pembangkang," kata Fuad lagi.
Hakikatnya, transformasi yang dibawa Najib menjalar ke peringkat akar umbi UMNO - yang mana pemilihan kepimpinan tidak lagi bersandarkan kepada kuota tetapi ditentukan ahli akar umbi di cawangan. Program Juara Rakyat dan Mesra Rakyat mengajak rakyat berfikir. Penganjuran demonstrasi haram dekat Dataran Merdeka tempoh hari juga memakan diri pembangkang dengan rakyat semakin buka mata akan kesan negatifnya terhadap polis dan kerosakan harta benda.
Dan jika dilihat dari aspek pengurusan angka pula menjelang PRU-13, maka sudah tentu ia bertaut rapat dengan pengundi baru. Golongan ini perlu diramaikan untuk menyokong kerajaan. Dalam konteks ini, kerja keras UMNO telah membuahkan hasil dengan berjaya menarik penyertaan anak muda untuk menjadi pengundi baru, diikuti DAP.
"Sebenarnya dari segi angka, UMNO mempunyai kekuatan ahli yang kuat pada 2008, dengan jumlah pengundi Melayu sekitar 5.7 juta. Tetapi undi yang diraih pada tahun berkenaan cuma 2.38 juta undi sedangkan keahlian parti mencecah 3 juta orang. Jadi, adalah penting untuk UMNO serius menguruskan bab angka ini supaya lebih ramai ahli mendaftar sebagai pengundi.
"Dengan negara yang memiliki kaum bumiputera kira-kira 63 peratus, Cina 24 peratus dan India 7 peratus, maka sudah tentulah diperlukan komitmen sokongan kuat bumiputera kepada kerajaan," kata Fuad.
Dari segi strategi pemasaran pula, kata beliau, ia berkait rapat dengan bagaimana cara parti-parti berkenaan dapat memasarkan parti masing-masing ke tahap terbaik.
"Ia berkenaan bagaimana rakyat melihat balik apa yang dijanji dan dikotakan. Di sini UMNO perlu lebih agresif menggerakkan penjenamaan semulanya dengan produk-produk yang diakui kian diterima oleh rakyat.
"Kita lihat banyak produk 1Malaysia dihasilkan, daripada Menu Rakyat 1Malaysia, BR1M, klinik dan sebagainya," kata beliau.
Apa yang penting urusan secara langsung dengan rakyat dan bukannya pengumuman angka demi angka. BN perlu bekerja keras lagi - meskipun ketika ini berjaya menggarap imej yang positif di mata rakyat menerusi bukti-bukti yang telah ditunjukkan.
/HWA: utusan.com.my | 18/5/12

Tiada ulasan: