Sebahagian wakil Pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGO) Subang Jaya membuat laporan polis mendesak supaya
suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat pemilikan 20 akaun induk
Anwar Ibrahim di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, semalam.
*****
SUBANG JAYA 16 Jun - Sebanyak 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Subang Jaya membuat laporan polis bagi mendesak supaya satu suruhanjaya
diraja ditubuhkan bagi menyiasat pemilikan 20 akaun induk Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bernilai RM3 bilion.
Antara NGO terlibat adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) Subang Jaya, Persatuan Pengguna Subang Jaya, Persatuan
Penduduk USJ-1 dan Persatuan Belia 4B Subang Jaya.
Penyelia Perkasa Subang Jaya, Amran Ahmad berkata, walaupun isu akuan
berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul
Murad Khalid mengenai 20 akaun induk Anwar banyak kali disiarkan media,
namun sehingga kini tiada tindakan.
"Banyak laporan polis turut dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk
NGO mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan
siasatan tetapi tiada juga reaksi daripada mereka.
"Situasi ini menimbul persoalan dalam kalangan NGO sama ada SPRM
takut kepada Anwar sehingga siasatan tidak boleh dilakukan terhadapnya
atau 'pilih bulu' dalam siasatan," katanya selepas membuat laporan di
Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, pukul 10.30 pagi ini.
Katanya, pihaknya juga mendesak supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri
menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber kewangan Anwar.
"Sekiranya benar sumber tersebut melibatkan wang rakyat, tindakan perlu dilakukan bagi menyiasat kebenaran tersebut.
"Sekiranya dia didapati bersalah, sewajarnya Anwar dibicarakan di mahkamah," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Subang Jaya, Gan Meng
Foo berkata, pihaknya membuat laporan berikutan masih tiada tindakan
diambil terhadap pihak terlibat walaupun pendedahan sudah lama
dilakukan.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan