PENSIANGAN 16 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang
dengan menegaskan resipi ekonomi yang dibawa mereka boleh menyebabkan
kehancuran kepada negara.
Kata Perdana Menteri, janji-janji pembangkang sekiranya dilaksanakan
akan menyebabkan masalah ekonomi kepada negara seperti yang dialami
sesetengah negara di dunia.
"Sesetengah negara yang cuba mengagihkan kekayaan tanpa ada kemampuan
tambahan adalah formula dan resipi yang membawa kepada keruntuhan
ekonomi termasuklah janji-janji pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
"Mereka janji hendak bagi pendidikan percuma, hendak hapuskan tol dan
janji macam-macam perkara tetapi tidak sebut daripada mana duit itu
datang. Adakah jatuh dari langit atau turun dari Gunung Kinabalu?
"Saya tahu, saya Menteri Kewangan, saya tahu jangan bohong, jangan
tipu rakyat," katanya pada majlis pecah tanah pelancaran Pusat Ternakan
Bersepadu Keningau (KILC), di sini hari ini.
Jelas Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti berjaya
menguruskan ekonomi negara dengan baik sehingga mampu menjana pendapatan
kepada negara.
Katanya, ia jelas dapat dilihat apabila hasil negara melonjak kepada RM26 bilion tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemampuan kerajaan melaksanakan
program perubahan dan bantuan kepada rakyat dilakukan berdasarkan kepada
kaedah berhemah.
"Apabila kita berjaya jana pendapatan, baru kita belanja, lebih banyak pendapatan lebih banyak kita belanja.
"Sebab itu bila kita belanja untuk rakyat seperti Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M), kerana kita dapat hasil tambahan melalui projek besar,
badan korporat dan daripada hasil yang kita kumpul," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan