Pages

19 Jun 2012

Rakyat Kelantan rugi 20 tahun

KOTA BHARU 16 Jun - Rakyat Kelantan mengalami kerugian selama 20 tahun disebabkan tindakan Pas yang membuat keputusan tanpa pertimbangan teliti dan terlalu emosional untuk dijadikan dasar pemerintahan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia terbukti dengan kenyataan serta keputusan berubah-ubah pemimpin Pas sepanjang memerintah negeri ini.
Beliau berkata, kebanyakan keputusan yang dibuat pemimpin Pas itu juga hanya untuk kepentingan politik tanpa memikirkan impak pada masa depan.
"Contohnya dalam isu membenarkan semula qariah menyertai tilawah al-Quran yang keputusan tidak membenarkannya dulu dibuat secara terburu-buru dengan hujah-hujah suara perempuan aurat, menggalakkan percampuran lelaki dan wanita serta meningkatkan kadar jenayah di Kelantan.
"Tetapi sekarang, semua hujah itu tidak benar dan disebabkan keputusan tersebut, Kelantan kerugian 20 tahun, sedangkan tilawah al-Quran banyak membantu meningkatkan syiar Islam dan menggalakkan seluruh umat Islam mendekati al-Quran, ia menjadi contoh kepada dunia hari ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi laluan semula kepada qariah menyertai tilawah al-Quran bermula tahun depan setelah menghalangnya pada 1990.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan