KOTA BHARU 16 Jun - Rakyat Kelantan mengalami kerugian selama 20
tahun disebabkan tindakan Pas yang membuat keputusan tanpa pertimbangan
teliti dan terlalu emosional untuk dijadikan dasar pemerintahan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, ia terbukti dengan kenyataan serta keputusan berubah-ubah
pemimpin Pas sepanjang memerintah negeri ini.
Beliau berkata, kebanyakan keputusan yang dibuat pemimpin Pas itu
juga hanya untuk kepentingan politik tanpa memikirkan impak pada masa
depan.
"Contohnya dalam isu membenarkan semula qariah menyertai tilawah
al-Quran yang keputusan tidak membenarkannya dulu dibuat secara
terburu-buru dengan hujah-hujah suara perempuan aurat, menggalakkan
percampuran lelaki dan wanita serta meningkatkan kadar jenayah di
Kelantan.
"Tetapi sekarang, semua hujah itu tidak benar dan disebabkan
keputusan tersebut, Kelantan kerugian 20 tahun, sedangkan tilawah
al-Quran banyak membantu meningkatkan syiar Islam dan menggalakkan
seluruh umat Islam mendekati al-Quran, ia menjadi contoh kepada dunia
hari ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat
Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Menteri Besar
Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi laluan semula kepada qariah
menyertai tilawah al-Quran bermula tahun depan setelah menghalangnya
pada 1990.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan