KUALA LUMPUR 16 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menerima bukti baru berkaitan pemilikan 20 akaun Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan harta Timbalan Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Azmin Ali daripada ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali.
Menurut Ummi Hafilda, bukti tersebut yang berupa beberapa dokumen
diserahkan kepada pegawai penyiasat SPRM dalam satu pertemuan dengan
mereka di ibu kota, Rabu lalu.
Katanya, tindakan pantas SPRM tersebut dibuat ekoran laporan muka depan Utusan Malaysia pada hari berkenaan, mengenai bukti yang ada pada beliau berhubung kes itu.
"Ekoran laporan akhbar tersebut, saya difahamkan Pengarah Siasatan
SPRM, Datuk Mustafar Ali mengarahkan pegawainya untuk menemui saya pada
hari itu juga.
"Pegawai yang saya temui itu memaklumkan SPRM akan membuka semula
siasatan berhubung pemilikan akaun Anwar dan abang kandung saya sendiri
iaitu Azmin, berdasarkan bukti baru itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Selasa lalu, Ummi Hafilda mendakwa, beliau 'menyimpan' bukti-bukti
baru berhubung pemilikan 20 akaun Anwar serta pemilikan harta Azmin dan
menyatakan kesediaan menyerahkannya kepada agensi itu sekiranya diminta
berbuat demikian.
Pendedahan itu merupakan reaksi terhadap kenyataan Mustafar bahawa
siasatan berhubung akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara
(BNM), Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan 20 akaun oleh Anwar
akan dijalankan, jika bukti baru yang berkaitan dikemukakan.
Sehubungan itu, Ummi Hafilda meminta Anwar, Azmin serta isteri Azmin
iaitu Shamsidar Taharin supaya bersedia disiasat oleh SPRM sekiranya
diminta berbuat demikian dalam masa terdekat ini.
"Saya sudah menjalankan tanggungjawab saya dan sedia berjumpa mereka
di mahkamah demi kebenaran, kita tengok apa tindakan mereka
selanjutnya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 17/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan