KUALA LUMPUR 6 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebenarnya takut kepada Ahli Dewan Negara, Datuk S. Nallakaruppan kerana
bekas sahabatnya itu menyimpan pelbagai rahsia kotor sepanjang
perkenalan mereka.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
menegaskan, Anwar tidak akan berani membuta tuli menyaman Nallakaruppan
yang dikatakan mempunyai bukti berbentuk video mengenai skandal seks
beliau dengan isteri orang.
"Anwar mungkin berani saman Nallakaruppan RM100 juta, tetapi dakwaan
yang lebih menjijikkan iaitu mempunyai hubungan sulit dengan isteri
orang pula, Anwar hanya menyepi.
"Bagaimana hendak saman andainya ada bukti rakaman video? Itulah
sebab mengapa Anwar hanya berdiam diri, dia takut Nallakaruppan akan
membocorkan semua rahsianya itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas desakan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air
(KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang mendesak Anwar memberi penjelasan
berhubung tindakan beliau menyaman Nallakaruppan hanya kerana Ahli Dewan
Negara itu mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.
Zahrain turut mengkritik Anwar menyaman Utusan Malaysia yang
pada dasarnya hanya medium pelapor sedangkan individu-individu yang
'rela' disaman berikutan membuat kenyataan terhadapnya tidak pula
diambil tindakan.
"Suatu waktu dahulu, Utusan (Malaysia) yang menjulang nama Anwar
tetapi kini kerana beliau pembangkang, maka Utusan dijadikan musuh
utamanya walaupun terdapat banyak media lain serta blog sering
mengkritik beliau," ujarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau
Pinang, Aminah Abdullah berkata, Anwar sewajarnya tidak gentar mengambil
tindakan tersebut sekiranya kebenaran berpihak kepadanya.
"Beliau harus berani memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia
andainya kebenaran berada pada pihaknya dan berhenti berdolak-dalik
serta mengelirukan rakyat," tegas beliau.
/hwa: utusan.com.my | 7/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan