SUNGAI PETANI 6 Jun - Amanat baru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang kepada penyokong pembangkang supaya menjatuhkan kerajaan secara
bersopan-santun adalah satu lagi taktik parti itu untuk meraih
populariti bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, taktik itu bukan perkara baru kerana ia sering digunakan oleh
parti tersebut sebelum ini, terutama apabila bahang pilihan raya semakin
dirasai.
Namun, katanya, amanat Abdul Hadi itu telah lama dilaksanakan oleh
kerajaan kerana demokrasi yang diamalkan di negara ini sentiasa seiring
dengan transformasi politik apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik sistem pilihan raya.
“Ingatan Presiden Pas supaya jangan menggunakan jalan lain untuk
menang pilihan raya, memang sepatutnya dipegang oleh penyokong mereka,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis bersama pemimpin di
Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Merbok di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amanat Abdul Hadi
baru-baru ini yang mahu penyokong pembangkang menurunkan kerajaan dengan
cara yang bersopan-santun bukan melalui tindakan yang memalukan mereka.
Abdul Hadi berkata, rakyat mempunyai pilihan dan kuasa untuk berbuat demikian jika berlaku kelemahan dalam pemerintahan.
/hwa: utusan.com.my | 7/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan