Pages

9 Jun 2012

Isu ‘takfir’ Hadi masih belum selesai

MEMBACA kenyataan terbaru Hadi Awang mengenai syurga neraka bila mengundi sesuatu parti politik amat melegakan banyak pihak. Walaupun ia bercanggah dengan pendirian Nik Aziz Nik Mat yang masih tetap akan memainkan isu syurga negara dalam mengundi parti politik, namun Hadi kembali semula kepada kaedah syarak memperbetulkan pengikutnya termasuk di Kelantan yang sangat kuat terpengaruh dengan ‘fatwa’ Nik Aziz.
Sebagai sebuah parti politik yang dikatakan memperjuangkan Islam, menyatakan undi parti tertentu masuk syurga adalah tidak syarie. Bila ia tidak syarie kenyataan sesetengah pemimpin Pas selama ini adalah bercanggah dengan Islam.
Hadi dalam kenyataan terakhirnya cuba memperbetulkan kesilapan ini tetapi tampak nyata Nik Aziz sering bercanggah dengan Hadi dalam banyak isu lain.
Selama ini memang diketahui umum Nik Aziz banyak membuat kenyataan spontan yang mengelirukan umat Islam dan Hadi sebagai Presiden Pas tidak mampu memperbetulkannya.
Perkembangan terakhir sudah ada kemampuan berbeza dengan Nik Aziz dan ia suatu petanda bahawa Hadi tidak selamanya mahu ikut telunjuk Nik Aziz.
Isu muzakarah dan Perdana Menteri daripada orang bukan Islam adalah contoh perbezaan itu wujud. Lazimnya isu-isu besar seperti itu perlu dibincangkan dalam Majlis Syura. Sayangnya Nik Aziz menjawab isu muzakarah dan Perdana Menteri bukan Islam secara peribadi. Buktinya, jika ia disyurakan terlebih dulu, tidak mungkin percanggahan itu berlaku.
Umum mengharapkan Hadi harus lebih ke hadapan dalam menyatakan sesuatu isu parti bukannya Nik Aziz. Walaupun Nik Aziz berada dalam syura, pandangan presiden parti seharusnya dihormati bukan sebaliknya.
Pendirian terakhir Hadi mengenai isu syurga neraka memang akan ditentang oleh Nik Aziz. Apa makna sebuah sistem syura, keputusan tidak boleh dibuat secara muafakat.
Nik Aziz tetap dengan ‘fatwanya’ sementara Hadi cuba memperbetulkan kesilapan yang berlaku. Mengapa Majlis Syura tidak bersidang dan mengambil keputusan secara syarie supaya ada kesepakatan dalam pendirian dan sikap.
Satu lagi hutang yang belum langsai iaitu kenyataan Hadi mengenai isu ‘takfir’ atau kafir mengkafir. Ia sangat subur di Terengganu sehingga ke hari ini. Kenyataan Hadi mengenai “Politik suku dan agama suku" amat popular suatu ketika dulu dan membawa pecah belah masyarakat Islam yang sangat parah.
Rasulullah SAW memperingatkan dalam hadisnya bahawa jangan mengkafirkan orang lain, bimbang kafir itu kembali kepada pengucapnya. Asas syarak ini sangat jelas meskipun menyatakan batas kufur dan iman, haq dan batil, halal dan haram dalam peringatan dan dakwah kita adalah sesuatu yang amat dituntut.
Politik Islam harus memiliki jalur dakwah yang tinggi. Politik Islam harus sifatnya mendekatkan manusia dengan Islam bukannya menjauhkan mereka. Politik Islam adalah suatu entiti dakwah yang seharusnya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, bukannya menyuburkan tradisi takfir.
Perjuangan Islam tidak memiliki jalan singkat untuk mencapai matlamatnya. Ia menuntut sifat sabar yang tinggi, istiqamah yang luar biasa. Bersifat ramah sesama seagama dan memiliki kasih sayang tinggi sesama Islam.
Pak Natsir dalam bukunya Fiqud Dakwah menyebutkan walaupun beliau orang politik (bekas Perdana Menteri pertama Indonesia) tapi jalur perjuangannya adalah jalur dakwah.
Kenyataan ini amat menarik untuk direnungkan kerana jiwa besar ahli politik Islam ialah dakwah bukannya menyuburkan rasa kebencian sesama umat dan dendam kesumat yang tidak ada titik hujungnya.
Ahli politik Islam harus memiliki darjah kesabaran yang tinggi. Al-Quran memberi pedoman watawasau bil haq watawa saubis sabr - menyatakan kebenaran itu menuntut kesabaran. Ahli politik Islam harus memiliki kemampuan menyerap kesabaran. Mereka tidak boleh gopoh dan menghajatkan hasil yang cepat.
Kerenah manusia disebabkan latar belakang pendidikan yang tidak sama dan orientasi kehidupan yang tidak serupa seharusnya menjadikan ahli politik Islam lebih bijaksana dalam memilih strategi terbaik ke arah dakwah dan tarbiyyah.
Mengambil pendekatan takfir atau syurga neraka adalah jalan singkat yang membuak-buakkan lagi perpecahan bukannya wehdah. Memperingatkan batas kufur dan iman adalah dituntut dalam dakwah dan peringatan terhadap yang lain.
Dengan jiwa besar berbeza dengan Nik Aziz atas nama kebenaran dan selari dengan hukum syarak, Hadi harus bersedia menarik balik ‘fatwa’ takfir yang membawa kepada perpecahan umat Islam supaya usaha dakwah dan tarbiyah menjadi lebih subur.
/hwa: utusan.com.my | 7/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan