Anuar Shaari
KUALA LUMPUR 7 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
diminta tampil memberikan penjelasan terhadap akuan berkanun bekas
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid
berhubung pemilikan 20 akaun induknya.
Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berkata, sekiranya dakwaan
yang terdapat dalam akuan berkanun berkenaan tidak benar, mengapa Ahli
Parlimen Permatang Pauh itu sehingga kini belum memfailkan saman fitnah
terhadap Abdul Murad.
“Akuan tersebut yang diedarkan pada Oktober 1999 itu antara lain
mendedahkan pemilikan kira-kira 20 akaun induk Anwar bernilai lebih RM3
bilion.
“Kita minta Anwar jelaskan adakah semua akaun induk tersebut
membabitkan pemilikan aset, saham serta wang Timbalan Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan isterinya, Shamsidar Taharin,"
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa),
Datuk Ibrahim Ali menyarankan kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya
diraja bagi menyiasat tuduhan terhadap Anwar itu kerana ia boleh
dikaitkan dengan tuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Ibrahim yang memandang serius perihal tersebut juga telah membuat
laporan polis dan mengemukakan surat rasmi kepada Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim
Mohamed bagi mendesak siasatan terhadap dakwaan Abdul Murad itu dibuka
semula.
/hwa: utusan.com.my | 8/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan