Skrip politik Malaysia sedang bergerak dalam mood
perubahan. Kerajaan telah memberi petunjuk bahawa negara memerlukan
lebih banyak transformasi kerana pada tahun 2020 Malaysia perlu berubah
dari negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.
Bagi pihak pembangkang, slogan perubahan juga menjadi hamparan
harapan yang besar dengan mengingatkan bahawa negara perlu diselamatkan.
Untuk mencapai sebuah kehidupan yang selamat, pengundi perlu memberikan
kepercayaan untuk menukarkan pucuk pimpinan dan memberikan kepercayaan
untuk memerintah.
Antara seruan "berubah untuk selamatkan Malaysia" dan transformasi
menuju negara berpendapatan tinggi, terdapat jurang perbezaan yang besar
kerana seruan perubahan itu hanyalah terbatas sebagai "janji manis"
manakala gerakan transformasi sudah membuahkan kejayaan dan kesan.
Seruan "berubah untuk selamatkan Malaysia" masih belum dapat
dibuktikan apakah perubahan yang bakal berlaku itu benar-benar menjadi
lebih baik daripada apa yang sedang dinikmati oleh keseluruhan rakyat.
Asasnya adalah mudah, kerana perubahan yang diharapkan itu hanyalah
sekadar "mimpi di siang hari", proses untuk membawa kepada keadaan yang
lebih selamat belum terjelma dengan jelas.
Sesungguhnya perubahan itu adalah satu keniscayaan. Ia adalah satu
fenomena tabii hukum alam. Bagaimanapun, perubahan itu mestilah
mengutamakan kemaslahatan, keharmonian dan kestabilan masyarakat dan
negara sebagai kerangka utamanya.
Arus perubahan itu hendaklah bersifat bertahap dan mengelakkan
mudarat. Perubahan secara drastik dan mengejut, akan menimbulkan risiko
huru-hara dan ketidakpastian masa depan. Agama menganjurkan berlakunya
perubahan secara evolusi dan bertahap.
Ini selari dengan kaedah ushul fiqh yang telah menjadi pegangan ulama dalam memutuskan satu hukum iaitu al muhafadhatu 'ala al qadim al shalih wa al akhdzu bi al jadid al ashlah
yang bermaksud mengekalkan perkara baik yang sedia ada dan
mengakomodasi perkara yang lebih baik. Ia bermaksud perubahan dengan
mengambil sedikit perkara yang lebih baik dan mengekalkan sistem yang
sedia ada.
Prinsip ini mengajarkan kepada kita bahawa perubahan itu mestilah
bersifat transformasi. Perubahan secara transformasi memberi penekanan
kepada perubahan secara dalaman tanpa merubah bangunan dan sistem yang
sedia wujud.
Atas sebab tiada kejelasan kerangka bertindak, maka kita tidak perlu
memperjudikan nasib walaupun ada yang memberikan harapan kabur.
Perubahan sebenarnya sesuatu yang amat diperlukan oleh semua orang,
kerana perubahan itulah yang boleh menjadikan diri kita lebih
bersemangat baharu dan melihat masa depan yang lebih baik, dengan
syarat, jalan menuju perubahan itu mestilah jelas dan praktikal.
Perubahan yang jelas dan praktikal hanya terkandung dalam rangka
transformasi yang dirancang oleh kerajaan, kerana transformasi yang
sedang berjalan itu dan akan diteruskan mempunyai matlamat yang boleh
dicapai menerusi penyatuan matlamat dan kematangan berfikir berbanding
dengan seruan perubahan yang tidak dilengkapi kerangka yang praktikal.
Malangnya, segelintir rakyat begitu mudah terpengaruh agenda
perubahan yang sedang dilancarkan melalui perang psikologi untuk
menumbangkan kerajaan walaupun pada hakikat ia hanyalah sekadar
membangkitkan emosi.
Situasi itulah sebenarnya menyebabkan berlakunya perpecahan dalam
masyarakat, kerana perang psikologi telah membentuk persepsi keliru dan
peningkatan harapan.
Di Malaysia situasi sedemikian sudah pun berlaku apabila kelompok
yang pernah menyelar mereka yang berada di luar tarikan politiknya
sebagai pejuang assabiyah, kembali memunculkan doktrin bahawa mereka
sahajalah benar-benar Islam manakala yang lainnya adalah kafir.
Fenomena itu sebenarnya sudah lama bermula, tetapi disebabkan
keinginannya begitu terdesak setelah melaksanakan perubahan prinsip dan
terperangkap dengan hubungan kerjasama yang janggal, mula berusaha
menutupi kesan tersebut dengan menyusun semula fatwa lama dalam nafas
seruan perubahan menuju Putrajaya atau selamatkan negara.
Penyakit itulah yang dikenali sebagai monopoli pemikiran dan tidak
bersedia untuk menghormati pendapat atau pendirian orang lain. Dalam
bahasa Arab, penyakit tersebut dikenali sebagai 'al-'ijab bi al-ra'yi' (kagum dengan pendapat sendiri).
Penyakit ini akan merebak dengan cepat dan boleh membahayakan umat
Islam kerana propagandis yang menyebarkan idealisme kelompok itu
memangnya merupakan mereka yang mahir mengadunkan ayat-ayat suci dan
memetik peristiwa tertentu dalam sejarah Islam.
Mereka mempunyai kepakaran untuk mempengaruhi pemikiran, kerana
setiap orang sedar bahawa agamalah menjadi kekuatan dan agama juga boleh
membawa manusia merasakan dirinya tidak bersalah hatta membunuh orang
lain.
Semangat ingin memonopoli atau berkuasa itulah menyebabkan pertempuran dalam menegakkan semangat al-'ijab bi al-ra'yi' menjadi
suatu bentuk jihad. Dalam berjihad, seseorang pejuangnya mesti berani
dan tidak takutkan mati kerana kematian itu akan dijanjikan syurga,
yakni mati syahid.
Wahyu yang diterima dari Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW tidak
sedikit pun menjejaskan perjuangan mereka untuk membentuk keyakinan
kelompok sedangkan ketika Islam ditegakkan, ia berjaya menyatukan setiap
kelompok dalam satu keyakinan yang sama. Hal itu telah diperingatkan
oleh Rasullullah SAW:
"Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan
memisahkan diri daripada al-jamaah lalu dia mati, maka dia (adalah) mati
jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah 'immiyyah (bendera
kebutaan) dan menyeru kepada 'asabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah
maka kematiannya adalah jahiliah." (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu
Majah).
Meskipun perkataan al-jamaah itu tidak merujuk secara khusus kepada
mana-mana pertubuhan siasah, secara literalnya terdapat kesepakatan
bahawa perkataan itu merujuk kepada kesemua orang Islam.
Ini bermakna, jika ada pihak menyeru perubahan semata-mata untuk
menegakkan kekuatan kelompoknya, tindakan tersebut itu adalah
bertentangan dengan semangat al-jamaah. Pertentangan itulah yang boleh
mengakibatkan petaka besar dan bakal melumpuhkan Islam secara
keseluruhannya.
Perkara kedua yang terdapat dalam hadis itu ialah rayah 'immiyyah,
iaitu sikap terlalu percayakan dan mempertahankan kelompok. Bahkan
kerana ingin menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan ramai, khususnya
perkara-perkara negatif kerana takutkan kedudukannya terjejas, ada orang
Islam sanggup mati kerananya.
Takutkan kelunturan imej berlaku maka tindakan mempertahankan
idealisme sendiri atau kelompok terus berjalan walaupun ianya salah
sehingga membawa kepada sikap melampau. Sikap itu kemudiannya
dipindahkan kepada bentuk perhimpunan yang lebih besar atas alasan
kehidupan peribadi dan kebebasan telah dirampas oleh undang-undang yang
lapuk dan zalim. Mempertahankan kebatilan dan mengemaskan emosi
sayangkan kelompok kerana telah dijanjikan 'syurga' itulah sebenarnya
telah melebarkan fahaman 'asabiyyah.
Konflik kefanatikan itulah yang membawa kepada perpecahan umat Islam
dan kerana agama dipolitikkan secara meluas, orang sanggup membunuh
kerana ia adalah satu bentuk jihad bagi membebaskan kemungkaran,
kezaliman dan kesesatan. Walhal, yang zalim itu adalah mereka sendiri
kerana tidak membebaskan diri dan fikiran dalam penjara kejumudan,
'asabiyyah dan fanatik kelompok.
/hwa: utusan.com.my | 8/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan