Pages

12 Jun 2012

Azizan nafi berselindung di sebalik Ladang Sejahtera

SIK 10 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri menggunakan projek Ladang Sejahtera untuk mengaut hasil balak secara tidak terkawal di negeri itu.
Sebaliknya, jelas beliau, projek tersebut dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dan Pejabat Daerah mendapat nasihat pihak berkaitan dan projek itu di pantau jabatan tertentu termasuk Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Tidak timbul isu ambil balak kerana kita sedia maklum mengenai kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti pembalakan serta bilangan pokok balak yang boleh ditebang. Orang saja buat bising sebab tak mahu projek ini jalan dan mereka nak tengok projek ini gagal.
"Kita kena ingat peraturan memotong balak ditentukan oleh Dasar Perhutanan Negara dan diwakili dua pihak iaitu Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar.
"Kalau kita lulus tanah tetapi dua pihak tersebut tidak lulus pun kita tak boleh buat projek ini. Jadi projek ini bukan tak ada lesen, semua buat ikut peraturan," katanya ketika ditemui di Padang Awam Pekan Sik di sini baru-baru ini.
Menurut Azizan, untuk beberapa daerah, PMBKed telah mengenal pasti seluas 13,325 hektar tanah untuk diusahakan sebagai Ladang Sejahtera.
"Kerajaan negeri menyasarkan sehingga 2016 seluas 20,000 hektar Ladang Sejahtera akan diusahakan di seluruh negeri ini," ujarnya.
Azizan menjelaskan, dakwaan penduduk di sekitar kawasan Gunung Inas bahawa air sungai di kawasan itu keruh disebabkan aktiviti pembalakan juga tidak benar.
"Kalau musim hujan semua tempat air keruh, tempat jernih pun jadi keruh," ujarnya.
Menurut beliau, pihak-pihak yang mengadakan demonstrasi di pekan Baling baru-baru ini mengenai isu air keruh itu bukan penduduk asal di kawasan Gunung Inas.
"Semua saja buat kacau, macam-macam isu depa kacau sekarang. Yang penting sekarang saya tidak ambil duit rakyat, apa yang kerajaan negeri dapat akan diberikan kepada rakyat," jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan bahawa peserta-peserta Ladang Sejahtera terdiri daripada ahli-ahli Pas, Azizan berkata, senarai nama peserta Ladang Sejahtera diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan