BAYANGKAN keadaan di mana negara mengalami inflasi, pengangguran
meningkat seterusnya berlakunya kenaikan harga barangan keperluan yang
tidak dapat dikawal sehinggakan golongan ibu bapa terpaksa melakukan dua
pekerjaan untuk menyara keluarga.
Hal ini boleh menyebabkan institusi kekeluargaan lama-kelamaan boleh
runtuh kerana ibu bapa tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama
anak-anak kerana kesibukan bekerja.
Dalam pada itu pula, pendidikan dijadikan perniagaan untuk mengaut
keuntungan. Ekoran itu, yang miskin keciciran untuk melanjutkan
pengajian ke peringkat tinggi. Ini semua boleh berlaku disebabkan
perubahan kuasa memerintah negara yang diambil alih oleh pihak lain
Apakah ini bakal berlaku? Mungkin juga, kerana ramai lagi dalam
kalangan kita yang masih tidak mendaftar dan tidak ambil kisah untuk
mengundi setiap kali pilihan raya umum diadakan. Mereka ini sama ada
tidak sedar atau tidak tahu akan kepentingan mengundi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 4.3 juta
rakyat di negara ini yang berusia 21 tahun dan ke atas masih belum
mendaftar. Kajian menunjukkan sikap rakyat yang tidak mengutamakan untuk
mengundi adalah faktor utama mereka tidak mendaftar.
Memang diakui kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya golongan
muda gagal untuk memahami politik tanah air atau tidak ambil peduli
mengenainya. Ini memberikan impak yang sangat kuat selepas pilihan raya.
Golongan ini bagaikan tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini
mungkin kerana mereka tidak pernah berdepan dengan penjajahan dan
mengalami sendiri keperitan akibat dijajah.
Berikutan disebabkan pemahaman mengenai politik yang kurang, mereka
tidak terdedah dengan semangat dan perkara-perkara yang memberi manfaat
kepada bangsa dan negara. Dalam pada itu, mereka sering didedahkan
dengan berita atau maklumat-maklumat yang kurang tepat mengenai kerajaan
yang menyebabkan mereka mengalami kecelaruan maklumat sekali gus
membenci kerajaan.
Mereka juga mungkin kurang peka negara ini yang mengamalkan sistem
raja berperlembagaan. Berdasarkan sistem beraja sebelum penjajahan
British, raja mempunyai kuasa yang mutlak dalam setiap pemerintahan dan
pentadbiran negeri. Raja dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik.
Setelah Tanah Melayu dijajah, kuasa raja mula terbatas iaitu raja harus
menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali adat
istiadat Melayu.
Perkara ini berulang semasa Malayan Union diperkenalkan seterusnya
British bertindak untuk menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Perkara ini
ditentang hebat oleh orang Melayu dan kuasa raja-raja dikembalikan
semula semasa Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan. Institusi beraja
telah dikekalkan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia
hingga ke hari ini. Raja berperlembagaan bertindak mengikut
perlembagaan yang ditetapkan.
Kita sebagai rakyat boleh mengekalkan sistem beraja ini dengan cara
mengundi. Dengan cara ini juga kita boleh mempertahankan kepentingan
bangsa Melayu. Jika tampuk pemerintahan kita bertukar tangan,
berkemungkinan besar kuasa raja dikurangkan atau terhapus sama sekali.
Generasi muda ialah orang yang tepat dan bertanggungjawab untuk
menentukan nasib bangsa pada masa depan. Justeru mereka harus tahu akan
kepentingan mengundi. Daripada menyalahkan pemimpin yang mentadbir
negara kononnya tidak betul, seharusnya kita sama-sama membantu kerajaan
membangunkan negara, bukan memusnahkannya dengan mengikut telunjuk
mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan negara ini.
Sebagai rakyat, kita mestilah membantu kerajaan untuk mengekalkan
keharmonian negara. Sesungguhnya urusan politik negara, bukan hanya
terletak dalam kalangan pemimpin negara sahaja. Politik ada kaitannya
dengan masa depan rakyat Malaysia termasuk golongan muda di negara ini.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya mempertahankan hak
keistimewaan yang disediakan. Setiap rakyat Malaysia berhak menentukan
masa depan masing-masing dengan mengundi pemimpin atau parti politik
yang mampu menjaga kepentingan bangsa dan negara. Bukan hanya
untukmelindungi kepentingan individu atau parti. Setiap rakyat pasti
mahukan yang terbaik untuk masa depan mereka.
Sebagai pewaris bangsa, golongan muda haruslah sedar akan
tanggungjawab dan melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa kita juga
berperanan besar dalam menentukan masa depan bangsa dan negara.
Perjuangkan hak anda selagi mampu.
Walaupun Malaysia adalah negara yang aman dan rakyat berada dalam
keadaan yang selesa tetapi keadaan ini tidak akan berterusan jika
kerajaan tidak mendapat sokongan rakyat.
Di samping itu, kita ditugaskan untuk mempertahankan kemerdekaan yang
dicapai hasil keberanian dan keperitan pejuang-pejuang kemerdekaan.
Ramai yang terkorban dalam mencapai kemerdekaan itu. Maka, janganlah
kita mempersia-siakan pergorbanan mereka.
Justeru golongan muda berhak mengundi pemimpin yang dirasakan mampu
mempertahankan bangsa dan negara. Cuba fikir sejenak, pihak mana yang
banyak membantu rakyat selama ini manakala pihak mana pula hanya
mencetuskan kekacauan.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan