LAUTAN manusia mendengar ceramah politik, tetapi daripada segi pengaruh - pihak mana berada di hadapan sekarang?
*****
TRANSFORMASI secara umumnya bererti berhijrah dari satu yang baik
kepada yang lebih baik. Daripada dasar yang ada sekarang, diperkemaskan
kepada yang lebih sempurna bagi mengejar sesuatu sasaran dan matlamat.
Sasaran dan matlamat Malaysia, di bawah Perdana Menteri Najib Tun
Razak ialah melakukan program transformasi untuk menuju ke arah Wawasan
2020. Kita ada lapan tahun lagi untuk menjadi sebuah negara maju.
Meletakkan sasaran 2020 itu merupakan strategi yang cukup sempurna.
Ia adalah satu wawasan terbaik yang diasaskan oleh negara ini.
Tapi bukan mudah untuk mencapainya. Untuk menjadi sebuah negara maju
sepenuhnya harus mengambil kira pelbagai aspek - kestabilan ekonomi,
sosial, politik, kebudayaan dan yang paling penting ialah minda kita.
Minda bererti pemikiran, sikap, tingkah laku, kesopanan, kesusilaan,
etika, adap dan lain-lain. Ia juga bererti kita harus berfikir dengan
baik dan matang. Cara berfikir rakyat Singapura berbeza dengan Malaysia.
Cara berfikir pegawai-pegawai kerajaannya berbeza dengan kita. Strategi
strategiknya berbeza dengan kita.
Singapura ialah sebuah negara maju. Sesebuah negara maju biasanya
sistemnya telah stabil. Pemikiran rakyatnya bergerak seiring dengan
kestabilan sistem itu. Tujuan saya mengambil contoh republik itu adalah
kerana ia sebuah negara maju yang paling hampir dengan kita.
Pemikirannya bergerak ke hadapan, bukan sebaliknya. Pemikirannya
dicabar supaya berfikir ke hadapan secara kritis dan kreatif.
Pemikirannya dicabar supaya melakukan eksplorasi dan
penerokaan-penerokaan baru.
Eksplorasi minda harus bergerak seiring dengan transformasi minda.
Berani saya katakan itulah yang dilakukan oleh pihak pembangkang, yang
tidak dilakukan oleh pihak sebelah sini.
Peperangan politik juga melibatkan transformasi dan eksplorasi minda.
Bukan statik. Bukan kaku. Bukan hanya bertahan, tapi menyerang.
Para pegawai strategik kerajaan, ahli-ahli politik kerajaan harus
mempunyai minda sebegini. Pemikiran yang strategis yang mampu
menganalisis isu, mengintepretasi serta menyerang. Bukan hanya
mempertahankan atau menjelaskan isu-isu yang ditembak oleh pihak musuh.
Dalam peperangan politik atau dalam permainan sukan sekali pun, terlalu kerap bertahan atau mengalah akan membawa padah.
Saya sedih apabila melihat kita terlalu banyak bertahan daripada
menyerang. Apakah kita sudah keletihan minda dan miskin idea, sedangkan
kita berada di pihak yang sepatutnya menang?
Sebagai orang media saya memerhati perkembangan ini sedang berlaku.
Semua kenyataan yang tersiar di media tradisional atau baru lebih kepada
mempertahankan diri. Jarang-jarang kelihatan satu terjahan membunuh
terhadap lawan.
Semua pihak kelihatan syok sendiri membuat kenyataan itu dan ini.
Terlalu banyak pihak termasuk NGO-NGO yang sekadar mahu suara dan muka
mereka kelihatan dalam media.
Sebenarnya, terlalu banyak kelemahan dan kesilapan serta kemudaratan
yang dilakukan pihak pembangkang di Pulau Pinang, Selangor, Kedah,
Kelantan yang tidak cukup didedahkan.
Kerja kita setiap hari ialah mempertahankan isu-isu yang dibangkitkan
oleh pihak sebelah sana. Kita harus mula menyerang dari sekarang.
Menanam keyakinan orang terhadap sesuatu isu mengambil masa. Jika tidak
dimulakan sekarang, mungkin ia sudah terlambat.
Kita tidak boleh lagi membenarkan rakyat kita yakin terhadap tuduhan
pembangkang melebihi daripada kebenaran, sehinggakan soal benar atau
tidak bukan lagi menjadi persoalan.
Kita tidak boleh lagi membenarkan pemikiran rakyat yakin bahawa harga
minyak akan diturunkan dalam tempoh 24 jam selepas mereka memerintah,
walaupun kita tahu kenyataan itu merupakan satu pembohongan.
Kita amat-amat bimbang jika rakyat akan yakin terhadap kenyataan itu, melebihi daripada kebenaran.
Oleh itu, dalam peperangan politik yang akan berlangsung ini, kita
harus bijak merangka perang saraf. Jika pembangkang menggunakan tipu
muslihat, kita guna pendekatan yang lebih profesional. Setelah
memerintah selama 55 tahun, semua kebaikan ada di hadapan kita. Mereka
tiada.
Saya ulang, jangan biarkan rakyat menerima keyakinan sebagai kebenaran, walaupun ia satu pembohongan.
Tindakan Amerika Syarikat, misalnya mengumumkan untuk meletakkan
armada laut serta logistiknya di rantau ini telah mempengaruhi emosi
China. China sudah menarik kening, melihatkan pergerakan itu, walaupun
Amerika tidak bermaksud mahu berperang. Ternyata Amerika berfikiran ke
hadapan.
Kita sepatutnya sudah bersedia untuk menyerang dan bersiap siaga
menerima serangan balas yang sudah dirancang. Serangan balas itu
sepatutnya ialah satu pukulan maut.
Saya pasti kita ada strategi itu.
/hwa: utusan.com.my | 6/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan