Pages

7 Jun 2012

PM kongsi pengalaman Hari Gawai

NAJIB Tun Razak ceria ketika menari tarian 'Ngajat' bersama kanak-kanak Iban ketika sambutan Hari Gawai di Rumah Panjang George Chunggut, Pakan, Sarikei, Sarawak, semalam. - BERNAMA 
*****
JULAU 3 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Hari Gawai pada tahun ini memberi satu pengalaman baru kepada beliau kerana berpeluang menyambutnya bersama masyarakat di rumah-rumah panjang.
Perdana Menteri berkata, cara ini lebih mesra rakyat kerana pemimpin Pusat dan negeri sama-sama turun padang mengunjungi mereka.
Katanya, ia berbeza dengan majlis sambutan Hari Gawai di peringkat kebangsaan sebelum ini yang memerlukan rakyat hadir ke lokasi penganjuran.
Menurut beliau, sebilangan rakyat mungkin tiada kesempatan untuk menghadiri sambutan sebegini di bandar-bandar utama.
"Saya anggap ini sebagai pendekatan yang mendapat sambutan hangat sebab mereka tidak sangka pemimpin Pusat dan negeri sanggup melawat rumah panjang. Difahamkan acara ini sangat ditunggu-tunggu dan mereka buat persediaan yang kemas lagi rapi.
"Bila saya hadir di ketiga-tiga tempat hari ini, saya nampak memang meriah sambutan yang diberikan penduduk tempatan dan dari sekitarnya," kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Ngabang Hari Gawai di Rumah Panjang Jana Saweng di sini.
Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan pemimpin-pemimpin kanan negeri.
Selain Rumah Panjang Jana Saweng, Perdana Menteri turut mengunjungi Rumah Panjang George Chunggut di Sarikei dan Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong untuk meraikan Hari Gawai.
Ditanya pandangannya mengenai Hari Gawai, Perdana Menteri berkata, ia adalah satu sambutan yang penuh adat istiadat budaya kaum Iban.
"Kita dapat melihat sedikit daripada adat resam mereka melalui acara seperti ini. Mereka ini mesra dengan orang yang datang berkunjung sempena Hari Gawai," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 4/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan