Pages

7 Jun 2012

Nizar perlu cermin diri

IPOH 4 Jun - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin perlu 'mencermin diri' sebelum mengeluarkan kata-kata yang akhirnya terkena batang hidungnya sendiri.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak, Md. Yusof Alang Ahmad berkata, tindakan Mohammad Nizar menukar kereta rasmi Proton Perdana yang digunakan Menteri Besar dan barisan Exco kepada Toyota Camry sewaktu zaman pemerintahannya dahulu adalah bukti jelas penggunaan duit rakyat.
"Jadi beliau tidak sepatutnya mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran WWW1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana ia tidak menyentuh sebarang wang rakyat.
"Justeru, kita mahu beliau memohon ampun kepada Tuanku serta rakyat negeri Johor kerana telah membangkitkan kemarahan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kecaman pelbagai pihak terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang tersebut yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW1 oleh Sultan Ibrahim.
Mohammad Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak berbuat demikian menerusi laman sosial Twitternya Isnin lalu yang menggambarkan seolah-olah baginda membida nombor tersebut menggunakan wang rakyat.
Dalam pada itu, Md. Yusof berkata, tindakan Mohammad Nizar yang turut menukar nombor-nombor plat kenderaan rasmi tersebut kepada nombor istimewa juga merupakan satu keputusan boros kerajaan pembangkang ketika itu.
Apatah lagi, katanya, kenderaan-kenderaan berkenaan dijual kembali dengan harga kereta terpakai yang jauh lebih rendah meskipun ia baru digunakan antara satu hingga dua bulan.
/hwa: utusan.com.my | 5/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan