Pages

7 Jun 2012

Sokongan kepada BN meningkat

PUTRAJAYA 5 Jun - Sokongan warga Wilayah Persekutuan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik berbanding tahun 2008, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Beliau optimis BN akan menawan semula kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu berdasarkan usaha berterusan pemimpin BN mendekati rakyat di Wilayah Persekutuan.
“Kita yakin apa yang berlaku pada 2008 akan berubah, berapa kerusi akan menang dan kalah tidak penting. Yang penting adalah usaha daripada setiap kawasan dan bantuan Kerajaan Pusat.
“Saya berkeyakinan keadaan akan berbeza, saya tidak tahu apa asas pembangkang mengatakan mereka lebih kuat hanya dengan berdasarkan kepada apa yang mereka tayangkan dalam Internet yang kadang-kadang karut pun ada, fitnah pun ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pengarang-pengarang media cetak dan elektronik sambil menaiki Cruise Tasik, di sini hari ini.
Tegas Raja Nong Chik, sebagai kerajaan yang mengurus dan mentadbir negara sejak sekian lama, pendekatan dilakukan oleh pihak pembangkang hanya akan memberi kehancuran kepada negara.
“Kita kena berlandaskan fakta dengan apa yang dilaksanakan, apa program akan datang dan apa yang telah dilaksanakan, bukan cerita fitnah antara satu sama lain," katanya.
Menurut beliau, perbuatan tersebut hanya mengundang persepsi negatif di kalangan pengunjung yang datang ke negara ini walaupun pada hakikatnya semua itu adalah tidak benar.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta pihak media memberikan gambaran seimbang dan tepat kepada kerajaan kerana kadang-kala laporan disiarkan dilihat sebagai berat sebelah dan memihak kepada pembangkang.
“Ini sedikit sebanyak memberi persepsi negatif terhadap negara sedangkan pada realitinya keadaan di negara ini jauh lebih baik dan tidak seperti digambarkan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/6/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan