Pages

8 Ogos 2012

ADUN Kota Alam Shah dikecam persenda Chong Wei

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pemuda UMNO mengutuk keras kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mempersenda dan memperlekehkan semangat juang yang dipamerkan oleh pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di temasya Olimpik London semalam.
Exconya, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, pemimpin pakatan pembangkang itu mempamerkan sikap buruk sedangkan semua rakyat Malaysia bersatu memberi sokongan jitu kepada Chong Wei.
"Amat keterlaluan beliau dengan nada mengejek telah menghina nama jaguh badminton negara kita dengan menukar nama ketiganya dari Wei kepada AWAY yang bermaksud jauh dalam bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Khairun berkata, Manoharan wajar segera memohon maaf secara terbuka kepada Chong Wei ekoran kenyataan menghinanya itu.
"Sekiranya beliau gagal, adalah munasabah untuk kita membuat andaian bahawa ejekan dan sindiran tersebut adalah pendirian rasmi parti DAP dan pakatan pembangkang," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, pemimpin pembangkang seperti Manoharan mempunyai pemikiran yang begitu cetek dan ketandusan idea apabila membuat kenyataan seperti itu.
"Ini menunjukkan beliau hanya tahu membangkitkan isu-isu yang kecil dan bukannya isu besar seperti air di Selangor atau menyelesaikan masalah rakyat.
"Segala-galanya mahu dipolitikkan sehingga sukan pun perlu dipolitikkan. Chong Wei adalah rakyat Malaysia sejati kerana perjuangannya dan semua rakyat Malaysia bangga terhadapnya tetapi orang seperti Manoharan tidak layak dipanggil sebagai rakyat Malaysia kerana memperlekehkan pengorbanan Chong Wei," katanya.
Beliau berkata, adalah amat mudah untuk berkata-kata namun sudah pasti sukar bagi seseorang termasuk Manoharan sendiri untuk melakukan apa yang telah dilakukan oleh Chong Wei.
"Manoharan patut merasai sendiri apa yang dilalui Chong Wei. Cuba dia lawan badminton dengan budak sekolah rendah dahulu tengok sama ada dia boleh menang atau tidak. Janganlah bercakap tanpa guna akal fikiran, tambahan pula dia seorang wakil rakyat," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Wong Koon Mun berkata, tindakan pemimpin DAP itu mempolitikkan Sukan Olimpik adalah perbuatan yang sangat memualkan dan melunturkan semangat kesukanan.
Katanya, kenyataan Manoharan bahawa pakatan pembangkang akan memberikan pingat emas di Sukan Olimpik 2016 sekiranya menguasai Putrajaya merupakan kenyataan politik yang tidak berasas dan tidak berkaitan dengan pembangunan sukan.
"Katakan negara maju seperti Amerika, Australia, Korea Selatan, dan United Kingdom yang sering bertukar kerajaan, ataupun negara satu parti seperti China serta Korea Utara, kemajuan para atlet sukan sebenarnya ditentukan oleh latihan keras berterusan dan displin yang tinggi bagi mencapai kejayaan,"katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya pakatan pembangkang begitu hebat, mengapa negeri Selangor gagal mencapai kejayaan yang membanggakan di Sukan Malaysia (Sukma) sejak diambil alih oleh pakatan pembangkang pada tahun 2008.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan