NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin
Yassin bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri Majlis Tadarus
dan Khatam al-Quran peringkat negeri di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid,
Taman Universiti, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
*****
JOHOR BAHRU 6 Ogos - Kerajaan meletakkan Islam
sebagai keutamaan tertinggi berbanding dengan politik supaya segala
permasalahan dan perpecahan dapat diatasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan
sekarang patuh kepada tuntutan agama dan perintah Allah menurut 'maqasid
syariah' yang menekankan penjagaan Islam, keamanan, akal, ilmu dan
pendidikan serta harta.
"Sebab itulah, kita mesti jaga Islam, jaga akidah, jaga akhlak,
tingkatkan syiar Islam dan bangunkan infrastruktur dan memperkukuhkan
perundangan Islam. Ini memang tanggungjawab kita.
"Kita tidak mahu Islam yang dikaitkan dengan kemiskinan dan kelemahan
tetapi Islam yang kuat dan perkasa. Kita mahu umat Islam yang berjaya,"
katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran
peringkat negeri di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti
dekat sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin:
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet
Tawil; Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsudin dan Penasihat Majlis Agama
Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.
Najib bersama pemimpin yang lain turut berbuka puasa bersama lebih
2,000 hadirin sebelum menunaikan solat maghrib dan isyak serta solat
sunat tarawih.
Menurut Najib, kerajaan mementingkan pentadbiran berlandaskan syariah kerana ia sememangnya tuntutan dalam Islam.
"Sebab itulah hari ini dunia melihat Malaysia sebagai model terbaik,
sehingga Presiden Mesir yang baru, Mohamed Mursi pun mengatakan negara
kita sebagai contoh pembangunan," katanya.
Kata Najib, keamanan negara juga terjamin walaupun mengharungi
pelbagai cabaran malah pelbagai program dijalankan kerajaan dalam
'penjagaan akal', antaranya pembinaan universiti seperti Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak berhampiran.
Tambahnya, Johor terutama Iskandar Malaysia kini menyaksikan
pelaburan sebanyak RM95 bilion dengan RM43 bilion sudah dilaksanakan
berkat ketaatan, kesetiaan dan perpaduan.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan