Pages

12 Ogos 2012

Bukti pembangkang tidak sepakat - Khairy

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pemilihan tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang berbeza di negeri-negeri ditadbir pembangkang membuktikan mereka sebenarnya tidak bersepakat.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan itu mempunyai hikmah tersendiri kerana rakyat dapat melihat pakatan pembangkang tidak sependapat walaupun dalam perkara yang mudah.
''Kita boleh membayangkan bagaimana pembangkang akan mentadbir negara sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum.
''Setiap negeri mungkin menggunakan undang-undang dan dasar berbeza. Mungkin di Kelantan dan Kedah ada hudud tetapi di Pulau Pinang tiada," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pasukan Siber Pemuda Barisan Nasional (BNYCT) di Dewan Sri Endon, Menara Datuk Onn di sini hari ini.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan tiga tema sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 yang berbeza di empat negeri diperintah pembangkang seperti dilaporkan.
Kelantan memilih tema 'Menerajui Perubahan', Kedah pula 'Terus Berbakti' manakala Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema yang sama iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini mengumumkan kesemua empat negeri tersebut akan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Dalam isu berbeza, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan beberapa artis menyertai Pas sebagai perkara biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan oleh pembangkang.
Menurut beliau, sebahagian besar artis yang menjadi ikon golongan muda masih lagi menyokong BN.
''Mungkin ramai ahli Pas tidak pernah tengok artis. Jadi, apabila artis masuk Pas, mereka riuh sekampung," ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin 'meroyan' semasa mengeluarkan kenyataan yang mempersendakan Jalur Gemilang dalam Twitternya baru-baru ini.
Tambah beliau, sebagai seorang bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar tidak sepatutnya membuat kenyataan yang menyifatkan Jalur Gembilang sebagai 'jalur malang'.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan