KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pemilihan tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55
yang berbeza di negeri-negeri ditadbir pembangkang membuktikan mereka
sebenarnya tidak bersepakat.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan itu
mempunyai hikmah tersendiri kerana rakyat dapat melihat pakatan
pembangkang tidak sependapat walaupun dalam perkara yang mudah.
''Kita boleh membayangkan bagaimana pembangkang akan mentadbir negara sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum.
''Setiap negeri mungkin menggunakan undang-undang dan dasar berbeza.
Mungkin di Kelantan dan Kedah ada hudud tetapi di Pulau Pinang tiada,"
katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pasukan Siber Pemuda
Barisan Nasional (BNYCT) di Dewan Sri Endon, Menara Datuk Onn di sini
hari ini.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan tiga tema
sambutan Hari Kebangsaan Ke-55 yang berbeza di empat negeri diperintah
pembangkang seperti dilaporkan.
Kelantan memilih tema 'Menerajui Perubahan', Kedah pula 'Terus
Berbakti' manakala Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema yang sama
iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini
mengumumkan kesemua empat negeri tersebut akan menggunakan tema
'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.
Dalam isu berbeza, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional
(BN) menyifatkan tindakan beberapa artis menyertai Pas sebagai perkara
biasa dan tidak perlu diperbesar-besarkan oleh pembangkang.
Menurut beliau, sebahagian besar artis yang menjadi ikon golongan muda masih lagi menyokong BN.
''Mungkin ramai ahli Pas tidak pernah tengok artis. Jadi, apabila artis masuk Pas, mereka riuh sekampung," ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk
Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mungkin 'meroyan' semasa mengeluarkan
kenyataan yang mempersendakan Jalur Gemilang dalam Twitternya baru-baru
ini.
Tambah beliau, sebagai seorang bekas Menteri Besar, Mohammad Nizar
tidak sepatutnya membuat kenyataan yang menyifatkan Jalur Gembilang
sebagai 'jalur malang'.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan