WAKTU ini di Hulu Langat terdapat sebuah loji
pemprosesan air utama (Loji Sungai Langat) yang membekalkan air untuk
kegunaan pengguna di kawasan Hulu Langat, Petaling Jaya, Kuala Lumpur,
Cheras , Kajang dan Balakong.
Loji Sungai Langat yang ada sekarang dibina pada 1971. Ia direka bentuk untuk memproses dan merawat 386 juta liter air sehari.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini loji tersebut terpaksa
merawat sebanyak 460 juta liter air sehari. Peningkatan itu disebabkan
oleh permintaan yang semakin meningkat daripada pengguna saban hari.
Jumlah 460 juta liter sehari yang diproses akan keluar dari loji untuk
disalurkan kepada pengguna tanpa meninggalkan seliter pun bakinya.
Akibat dari pemprosesan yang melebihi kapasiti yang direka bentuk
membuatkan pihak Puncak Niaga berada dalam keadaan tertekan kerana
mereka perlu menggunakan kesemua 15 mesin yang ada. Tidak ada satu mesin
pun tidak digunakan melainkan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini
kerana pada masa itu ramai penduduk Lembah Klang pulang ke kampung
halaman. Itu pun sekadar dua mesin yang boleh dihentikan untuk tempoh
beberapa hari sahaja.
Akibat dari tekanan pemprosesan air yang terlalu banyak - 24 jam
sehari - tanpa henti menyebabkan pada sesetengah waktu mesin tersebut
rosak. Apabila mesin rosak, jumlah air yang diproses akan berkurangan
dan bekalan kepada pengguna akan terganggu.
Proses membaik pulih mesin bergantung kepada kerosakan yang dialami.
Ia boleh memakan masa antara 1-3 hari. Loji tersebut sudah maksimum
penggunaannya. Tidak ada sebarang ruang lagi untuk pembesaran atau
penambahan mesin baru. Jawapan kepada masalah yang timbul adalah
pembinaan loji baru. Itulah yang dinama Loji Langat 2 yang dirancang
oleh Kerajaan Persekutuan. Tetapi oleh kerana permainan politik Kerajaan
PKR Selangor menghalangnya.
Pembinaan Loji Langat 2 memerlukan masa antara 3-4 tahun. Sehingga ke
hari ini ia belum dapat dibina kerana halangan Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Makin lama pembinaannya terhalang makin
lama masa yang diperlukan untuk menyiapkannya.
Sekiranya dibina sekarang, mungkin ianya akan siap pada 2016.
Maknanya, ia sudah melebihi dari tempoh yang jangkaan krisis air akan
berlaku pada 2014.
Berikut antara auta Kerajaan Negeri Selangor setiap kali Kerajaan
Pusat menjelaskan fakta akan risikonya jika Projek Langat 2 tergendala
dan tidak disegerakan:
1. Auta: Mendakwa krisis air tidak akan berlaku pada 2014.
Fakta: Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menjalankan 5 projek
mitigasi bernilai RM301 juta untuk mengelakkan masalah air.
Persetujuan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan projek-projek
tersebut menunjukkan mereka mengakui krisis air akan berlaku pada tahun
2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.
2. Auta: Tanggungjawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air
Selangor (Syabas) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan
aset-aset air di Selangor.
Fakta: Kerajaan Negeri Selangor, sebagai pemilik aset-aset air negeri
Selangor yang telah diberi kuasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) di bawah Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006
(Akta 655), bertanggungjawab bagi memastikan ketersediaan atau water
supply availability di loji-loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya.
Syabas yang telah diberi kuasa di bawah Seksyen 191 Akta Industri
Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) sebagai operator pengagihan air di
Selangor hanyalah untuk membekalkan dan mengagihkan bekalan air terawat
dan bukannya berperanan untuk memastikan ketersediaan bekalan air
terawat.
3. Auta: Tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat jelas
menunjukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air, sekali gus
menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2
Fakta: Ketiadaan keperluan catuan air pada masa ini bukan bermakna krisis air tidak akan berlaku pada tahun 2014.
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM606 juta
untuk melaksanakan projek-projek mitigasi untuk mengelakkan krisis air
pada tahun 2014 berikutan kedegilan Kerajaan Negeri Selangor.
4. Auta: Kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air.
Fakta: SPAN menjangkakan jumlah bekalan air sedia ada tidak mencukupi
untuk memenuhi permintaan pada tahun 2014. Bekalan air yang dapat
dikeluarkan oleh 34 loji rawatan air di Selangor hanya dapat memenuhi
permintaan air sehingga penghujung tahun 2012 sahaja.
5. Auta: Tindakan membina Loji Rawatan Air Langat 2 bertujuan memastikan kroni UMNO-BN mendapat kontrak pembinaan.
Fakta: Tender belum dikeluarkan dan Kerajaan Persekutuan akan
melaksanakan secara tender terbuka dan mengalu-alukan anak syarikat
Kerajaan Negeri Selangor untuk menyertai tender.
6. Auta: Kerajaan Selangor mahu ambil alih operasi Syabas kerana Syabas tidak mampu urus bekalan air.
Fakta: Kerajaan Persekutuan tidak dapat mempertimbangkan permohonan kerana:
i). Kes mahkamah yang masih belum selesai.
- Kes tersebut difailkan oleh Syabas untuk menuntut pampasan kerana
Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju untuk menaikkan tarif air di
negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak tahun 2009.
ii. Kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas
didapati telah melakukan keingkaran dan tuduhan Kerajaan Negeri Selangor
ke atas keingkaran yang dilakukan oleh Syabas didapati tidak mencukupi
untuk membolehkan Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih operasi Syabas
berdasarkan Klausa 32 Perjanjian Konsesi.
7. Auta: Tahap takungan air di tujuh empangan berada di tahap maksimum.
Fakta: Air di empangan hanya akan digunakan sekiranya paras air
sungai berada di bawah paras yang dibenarkan untuk dipam ke loji rawatan
air. Air empangan tersebut hanya boleh digunakan dalam tempoh empat
bulan sahaja kalau digunakan secara berterusan.
8. Auta: Tarif air akan naik andai Projek Langat 2 dijalankan.
Fakta: Projek masih belum dimulakan, jadi bagaimana Menteri Besar
Selangor boleh mengatakan tarif air akan naik. Tanggungjawab kerajaan
negeri untuk mewartakan tarif air dan bukannya Kerajaan Persekutuan.
9. Auta: Keupayaan pengeluaran semua 34 loji rawatan air di Selangor
ialah 4.807 juta liter sehari (JLH) berbanding dengan keupayaan agihan
Syabas 4.371 juta liter sehari iaitu terdapat lebihan sebanyak 436 JLH.
Fakta: Jumlah kapasiti pengeluaran yang dinyatakan oleh Kerajaan
Negeri Selangor pula iaitu sebanyak 4.807 JLH merupakan jumlah kapasiti
reka bentuk loji dan mengambil kira kapasiti lebihan yang dihasilkan
oleh lima buah loji yang sedang dioperasikan melebihi tahap reka bentuk.
10. Auta: Kos projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah RM8.65 bilion.
Fakta: Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor daripada 2 komponen iaitu :
(i) Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor. Kos RM3.936 bilion.
Sumber 75% Japan International Cooperation Agency (JICA) dan 25%
Kerajaan Persekutuan.
(ii) Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2). Kos RM4 bilion.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan