KUALA LUMPUR 8 Ogos - Umat Islam dilarang mengundi DAP pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 akan datang kerana jelas perbuatan itu amat menyalahi
perintah Allah SWT di dalam al-Quran.
Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fadlan Mohd.
Othman berkata, ini kerana DAP menentang hebat dasar perjuangan Islam
yang dibawa oleh Pas.
''Mengundi DAP yang menentang perjuangan Islam adalah tidak wajar
menurut Islam. Di dalam surah al-Maidah ayat kedua telah memerintahkan
kita tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan dan bukannya
tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.
''Justeru, mengundi DAP menyalahi ayat suci ini. Harapan kita masih
optimis agar Pas memikirkan kerjasama dengan UMNO yang terbukti berjaya
memartabatkan syiar Islam di muka bumi ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah
Sa'amah, adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang
secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta
pelaksanaan hukum hudud.
Abdullah berkata, umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana
pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan
raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.
Fadlan berkata, Pas sejak menyertai pakatan pembangkang gagal muncul
sebagai sebuah parti dominan dan akibat itu juga perjuangan Islam yang
dijunjung parti tersebut berjaya dikekang oleh ketegasan DAP.
Dalam perkembangan berkaitan beliau yang juga Pensyarah Kanan Jabatan
al-Quran dan as-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak
memperjuangkan Islam seperti mana dikatakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas
Kelantan, Datuk Mohamad Daud.
Beliau berkata, sejak merdeka sehingga hari ini kerajaan BN yang
diterajui oleh UMNO berjaya meletakkan Islam pada kedudukan sewajarnya
sehingga tertubuh pelbagai institusi bagi kemudahan umat Islam di negara
ini.
Ujarnya, pencapaian itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa antaranya
penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); sistem kewangan Islam
dan Tabung Haji.
Selain itu katanya, UMNO juga telah meletakkan usaha memartabatkan Islam khusus di dalam perlembagaan parti itu.
''Sememangnya Pas sering mengeluarkan hukum-hakam yang mengelirukan.
Sebenarnya adalah tidak wajar Pas bersekongkol dengan DAP yang memang
jelas memusuhi Islam,'' katanya lagi.
Menjawab satu soalan, beliau tidak menafikan kemasukan sebahagian
besar golongan profesional di dalam Pas telah menyebabkan suara ulama
semakin tenggelam.
''Disebabkan berlaku kemasukan golongan profesional ke dalam Pas
kedudukan ulama di dalam parti tersebut semakin tergugat,'' katanya
lagi.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan