KUALA LUMPUR 8 Ogos - Tindakan 'orang tengah'
cuba memujuk Presiden Parti Bersatu India, Datuk S. Nallakaruppan
memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas segala dakwaan yang
dibuat selama ini, dilihat sebagai jalan terakhir bagi menyelamatkan
karier ketua pembangkang itu daripada terus terkubur.
Presiden Gerakan Reformasi Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berkata,
pendedahan demi pendedahan yang dibuat Nallakaruppan selama ini telah
memberi kesan buruk kepada Anwar dan seterusnya menjadi punca sokongan
rakyat kepada pakatan pembangkang turut merosot.
"Usaha itu menjelaskan bahawa segala dakwaan Nallakaruppan tentang perilaku buruk bekas rakan baiknya itu memang benar.
"Atas sebab itu mereka terpaksa memujuk Nallakarupan memohon maaf
kepada Anwar supaya timbul persepsi kononnya ketua pembangkang itu tidak
bersalah dan semua dakwaan itu hanya fitnah," katanya ketika dihubungi
di sini.
Beliau mengulas pendedahan Nallakaruppan baru-baru ini bahawa beliau
telah didatangi 'orang tengah' yang memujuknya supaya memohon maaf
kepada Anwar atas segala kritikan dan dakwaan yang dibuat selama ini.
Ramlan seterusnya meminta seluruh rakyat Malaysia menolak pemimpin
seperti Anwar yang didakwa mempunyai pelbagai masalah peribadi.
Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Wilayah Persekutuan, Amir Atar
tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut terpaksa dibuat kerana
tidak mahu Nallakaruppan mendedahkan video yang melibatkan salah laku
Anwar.
"Jika dakwaan Nallakaruppan sebelum ini bahawa beliau memiliki banyak
rakaman video mengenai perbuatan buruk Anwar adalah benar, sudah tentu
ia akan memberi kesan negatif kepada pemimpin pembangkang itu.
"Tidak mustahil selepas ini pelbagai cara lagi akan dilakukan bagi
memastikan video itu tidak didedahkan kerana jika tidak karier politik
Anwar akan hanya tinggal kenangan," ujarnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan usaha memujuk itu akan diteruskan selagi video tersebut masih belum didedahkan.
"Mungkin selepas ini 'orang tengah' itu akan menggunakan taktik lain setelah cubaan memujuk Nallakaruppan gagal," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 9/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan