ALAHAI! Belum reda lagi sebenarnya kekecohan dalam kalangan media
Pulau Pinang berhubung gelagat Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan
penyiaran 51 gambarnya - walaupun muka suratnya hanya 28 helaian pada
keluaran Buletin Mutiara Mei lepas.
Gara-gara 'kerenah' sedemikian rupa, 'pasukan' Buletin Mutiara
telah bertindak dengan 'efisien' mengurangkan gambar pemimpin mereka
itu, dengan hanya menyiarkan 28 gambar sahaja dalam 28 muka surat pada
keluaran Julai lepas. Tetapi agak kelakar bunyinya kerana masih tidak
nampak pun sebarang perbezaan ketara kerana Guan Eng masih menonjol
dalam buletin itu.
Barangkali, selepas mendapat tekanan serta kritikan hebat daripada
media di negeri itu, Guan Eng seperti biasa mengambil jalan selamat
dengan menyalahkan pasukan buletin tersebut sebagai 'tersilap secara
teknikal'. Akibatnya, Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying
segera memohon maaf melalui satu kenyataan media baru-baru ini dengan
menyatakan, penyiaran 51 gambar Guan Eng merupakan kesilapan teknikal
dan tidak akan berulang.
Kesilapan teknikal kali ini turut 'diperbetulkan' dengan kehadiran
isteri Ketua Menteri, Betty Chew yang kelihatan 'agak anggun' pada
keluaran buletin tiga bahasa tersebut. Jika sebelum ini, Betty hanya
gemar mengenakan seluar 'slack' dan pakaian pendek yang kelihatan
seperti wanita berkerjaya, kini dia tampil mengenakan busana, gaun
berserta aksesori.
Beberapa gambar Betty turut dimuatkan dalam Buletin Mutiara walaupun sebelum ini hanya gambar-gambar suaminya sahaja mendominasi buletin itu.
Akhbar-akhbar berbahasa Cina mendakwa, penampilan Betty kini kelihatan lebih bergaya.
Betty dikatakan kini lebih gemar menghabiskan masa menemani suaminya
ke majlis-majlis penting serta berprofil tinggi di Pulau Pinang.
Bagaimanapun dia masih ADUN Kota Laksamana di Melaka. Walhal, kalau nak
diikutkan, rakyat Melakalah yang lebih memerlukannya berbanding Pulau
Pinang. Tetapi ada pula masa dihabiskan di Pulau Pinang termasuk
menghadiri pertunjukan fesyen baru-baru ini. Media turut melaporkan
Betty mengambil bahagian dengan memperagakan beberapa pakaian di Tanjong
Tokong beberapa minggu lepas.
Buletin Mutiara didakwa dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang
dengan peruntukan RM300,000 setiap dua bulan. Cuma, rakyat atau umum
hendak tahu juga adakah duit peruntukan tersebut dikeluarkan daripada
dana DAP. Ataupun menggunakan wang rakyat negeri itu hasil dari cukai
yang dikutip? Sungguh tidak adil andainya wang tersebut milik rakyat
kerana jelas sekali Buletin Mutiara memainkan peranan penting dalam
menyebarkan propaganda DAP dan keluarga dinasti Lim kerana hanya mereka
yang lebih menonjol.
Satu ketika, Buletin Mutiara ini akan diedarkan sendiri oleh
DAP pada program-program kerajaan negeri. Pada masa sama ia diletakkan
di sekitar masjid, pusat membeli belah dan kawasan-kawasan tarikan
pelancongan. Namun, kini mereka lebih 'hebat' apabila melantik syarikat
tertentu untuk mengedarkan buletin tersebut dari rumah ke rumah.
Mengapa sampai begitu sekali? Mengapa menyajikan propaganda DAP
kepada rakyat Pulau Pinang dengan begitu agresif? Adakah kerana buletin
itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyatnya? Mungkin juga
rakyat sudah mula sedar tembelangnya.
Baru-baru ini terdapat kecaman daripada kerajaan Barisan Nasional
(BN) Pulau Pinang kerana menggunakan buletin itu sebagai platform untuk
menghentam kerajaan.
Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang berkata, buletin
tersebut hanya digunakan sebagai media untuk memberitahu rakyat di
negeri itu terhadap aktiviti selain dasar dan polisi kerajaan negeri.
"Andainya pakatan pembangkang mahu berbicara tentang politik atau
membuat kecaman kepada mana-mana ahli politik kerajaan Persekutuan,
mereka harus menggunakan medium yang sesuai. Gunalah duit sendiri untuk
keluarkan akhbar propaganda. Tetapi bukannya menggunakan wang rakyat"
tegasnya.
/hwa: utusan.com.my | 23/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan