Nasharudin Mat Isa ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas di Shah Alam, Selangor, tahun lalu.
*****
APA pendirian Pas dan apa pula nasib bekas
Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa? Itulah dua persoalan
yang bermain di fikiran banyak pihak apabila Pas dijangka mengadakan
mesyuaratnya esok bagi membincangkan isu hukum hudud yang dianggap telah
memanaskan hubungan parti berkenaan dengan sekutunya, DAP.
Sementara, Pengerusi DAP, Karpal Singh terus konsisten mempertahankan
pendirian beliau dan parti itu menolak hukum hudud yang diperjuangkan
oleh Pas, Pas pula seolah-olah masih tercari-cari jalan penyelesaian
terbaik bagi mengelakkan isu itu meretakkan hubungan dengan DAP.
Sama ada hendak diakui atau tidak, kepimpinan Pas berhadapan dengan
dua dilema iaitu pertama, apakah akan menerima tekanan DAP untuk
melupakan perjuangan hukum hudud sekali gus patuh kepada kesepakatan
yang dibuat melalui Buku Jingga manakala kedua, apa yang perlu mereka
lakukan ke atas Nasharudin.
Untuk dilema pertama, Pas berhadapan dengan tekanan politik untuk
membuktikan bahawa parti itu bukan 'pak turut' yang perlu patuh dengan
apa sahaja desakan dan tekanan daripada DAP mahupun Parti Keadilan
Rakyat (PKR).
Jika Pas membuat keputusan untuk tunduk kepada desakan DAP supaya
melupakan soal hukum hudud dan pelaksanaan syariat Islam, maka jelaslah
selepas ini Pas tidak berhak lagi bercakap soal perjuangan Islam apatah
lagi menganggap mereka parti Islam. Sebenarnya, kalau pun Pas berbuat
demikian ia bukanlah satu keanehan kerana suara atau pihak paling
berkuasa dalam parti itu sekarang bukannya golongan ulama yang bersusah
payah menubuhkan Pas kira-kira 60 tahun lalu, tetapi golongan yang
dianggap sekular dan lebih mementingkan hubungan dengan DAP dan PKR
serta mencapai impian ke Putrajaya.
Sebab itulah, apabila Nasharudin menunjukkan ketegasannya dalam soal
hukum hudud sehingga mampu mengheret Karpal menyelesaikan pertelingkahan
mereka di mahkamah, beliau dikecam hebat oleh kalangan
pemimpin-pemimpin Pas sendiri.
Pelbagai bentuk kenyataan mereka keluarkan bagi mengecam Nasharudin
yang terus istiqomah dalam mempertahankan dasar perjuangan Pas. Bagi
mereka, Nasharudin tidak boleh berbuat demikian biar pun itulah asas dan
dasar yang memungkinkan terwujudnya Pas di dalam arena politik tanah
air.
Tetapi malangnya yang bersuara lantang ini hanyalah daripada golongan
bukan ulama, manakala golongan ulama terus diam seribu bahasa biar pun
Nasharudin ialah Ahli Majlis Syura Ulama Pas. Golongan ulama Pas
seolah-olah kehilangan suara untuk mempertahankan bekas Timbalan
Presiden parti tersebut.
Keadaan inilah yang memungkinkan golongan bukan ulama dalam Pas 'naik
tocang' sehingga sanggup menyerang Nasharudin habis-habisan. Apatah
lagi, PKR langsung tidak mahu campur tangan dalam perbalahan antara
Karpal dan Nasharudin kerana mereka percaya 'wakil' mereka dalam Pas
sudah cukup bagus dan mantap untuk menyerang kembali Nasharudin.
Apa yang melucukan ada pemimpin PKR menganggap kenyataan Karpal untuk
mengemukakan saman kepada Nasharudin hanyalah gertakan dan satu isu
kecil yang tidak akan memudaratkan pakatan pembangkang tetapi mereka
lupa bahawa Karpal ialah seorang ahli politik yang jauh lebih berprinsip
berbanding sesetengah pemimpin PKR dan Pas.
Malahan PKR tidak harus lupa bahawa Karpal juga dalam kenyataan
terbarunya mengecam perbuatan melompat parti dan semua orang tahu
pemimpin dari parti manakah yang 'mempromosikan' budaya itu sehingga
mewujudkan impian 16 September. Oleh itu, kalau pemimpin PKR menganggap
isu Nasharudin dan Karpal tidak akan menjejaskan pakatan pembangkang ia
adalah satu pandangan politik yang cukup sempit dan untuk 'sedapkan
hati' sahaja.
Hakikatnya, isu hukum hudud ini dengan jelas menampakkan bagaimana
dalam hubungan antara pakatan pembangkang terutamanya melibatkan DAP dan
Pas ia masih mempunyai perbezaan yang cukup ketara antara mereka.
Berdasarkan kepada keadaan itulah, ramai ternanti-nanti apakah pendirian
yang akan dibuat oleh Pas dalam krisis terbaru ini. Ia memandangkan
ketika kepimpinan Pas merasakan sesetengah pemimpin mereka begitu
menjaga hubungan dengan DAP dan PKR sehingga sanggup menggadaikan
segala-galanya tetapi di peringkat akar umbi situasinya berbeza.
Pemimpin dan ahli Pas di peringkat akar umbi semakin resah dengan
perkembangan ini kerana mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin Pas di
peringkat atas terus tunduk dengan tekanan DAP dalam soal memperjuangkan
Islam.
Ia kerana perjuangan Islam-lah yang selama ini mendorong mereka
menyokong Pas berpuluh-puluh tahun sehingga ada antara mereka sanggup
bermasam muka dengan sanak-saudara demi mempertahankan perjuangan Pas.
Justeru adalah tidak adil, jika tiba-tiba Pas rela mengorbankan
perjuangan itu serta menyingkirkan mana-mana pemimpinnya yang
memperjuangkan dasar Islam semata-mata untuk memburu kuasa bersama-sama
PKR dan DAP.
Dalam dilema melibatkan nasib Nasharudin pula, ramai ingin melihat
apa yang Pas hendak lakukan kepada Nasharudin. Ini kerana mereka
berpendapat kalau Nasharudin dilihat melanggar peraturan parti kerana
menggesa Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang,
bagaimana pula dengan Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasrudin Hassan yang
menjadi pencetus utama konflik terbaru ini.
Pas tidak boleh pejamkan mata sahaja terhadap kenyataan Nasrudin yang
menyatakan Karpal sudah sedia berbincang mengenai hukum hudud sehingga
ia membangkitkan reaksi balas daripada Pengerusi DAP itu. Bukankah
selama ini, pemimpin-pemimpin Pas mahu ahlinya mematuhi kesepakatan
dalam Buku Jingga yang di dalamnya tidak terkandung soal pelaksanaan
hukum hudud?
Berikutan reaksi Karpal maka atas prinsip mempertahankan dasar dan
maruah parti maka Nasharudin muncul dengan hujahnya, tak kan seseorang
yang berbuat demikian dianggap melanggar peraturan parti? Apa pun kita
perlu menanti hasil mesyuarat Pas tersebut biar pun di kalangan
sesetengah pemimpin parti itu sendiri tidak mengharapkan apa-apa yang
besar akan berlaku. Ini kerana menurut mereka yang dihubungi penulis,
Pas akan lebih mementingkan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam memburu
impian ke Putrajaya.
''Sebenarnya, kita sudah boleh menjangkakan bahawa apabila selesai
mesyuarat itu, pemimpin Pas akan membuat kenyataan bahawa isu hukum
hudud itu akan atau boleh diselesaikan melalui musyawarah. Tumpuan kini
ialah Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN),
itulah yang saya jangka mesyuarat berkenaan akan putuskan," kata salah
seorang pemimpin Pas daripada golongan pro ulama ketika dihubungi.
Dan satu lagi kenyataan cukup popular yang dijangka dikeluarkan oleh
Pas adalah isu hukum hudud ini mainan media pro kerajaan yang bertujuan
memecah belahkan kesepakatan dan kerjasama antara pakatan pembangkang.
Jika itulah kenyataan yang dibuat, sudah tentulah kita tidak akan
terkejut kerana sejak berada bersama pakatan pembangkang, Pas
sememangnya semakin terhakis prinsipnya terutama dalam mempertahankan
dasar perjuangan Islamnya dan sanggup menjadi parti paling banyak
berkorban melalui kerjasama berkenaan demi kegelojohan mencari kuasa
politik.
/hwa: utusan.com.my | 23/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan