27 Ogos 2012

Pendirian Pas dan nasib Nasharudin

Nasharudin Mat Isa ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas di Shah Alam, Selangor, tahun lalu. 
*****
APA pendirian Pas dan apa pula nasib bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa? Itulah dua persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila Pas dijangka mengadakan mesyuaratnya esok bagi membincangkan isu hukum hudud yang dianggap telah memanaskan hubungan parti berkenaan dengan sekutunya, DAP.
Sementara, Pengerusi DAP, Karpal Singh terus konsisten mempertahankan pendirian beliau dan parti itu menolak hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas, Pas pula seolah-olah masih tercari-cari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan isu itu meretakkan hubungan dengan DAP.
Sama ada hendak diakui atau tidak, kepimpinan Pas berhadapan dengan dua dilema iaitu pertama, apakah akan menerima tekanan DAP untuk melupakan perjuangan hukum hudud sekali gus patuh kepada kesepakatan yang dibuat melalui Buku Jingga manakala kedua, apa yang perlu mereka lakukan ke atas Nasharudin.
Untuk dilema pertama, Pas berhadapan dengan tekanan politik untuk membuktikan bahawa parti itu bukan 'pak turut' yang perlu patuh dengan apa sahaja desakan dan tekanan daripada DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika Pas membuat keputusan untuk tunduk kepada desakan DAP supaya melupakan soal hukum hudud dan pelaksanaan syariat Islam, maka jelaslah selepas ini Pas tidak berhak lagi bercakap soal perjuangan Islam apatah lagi menganggap mereka parti Islam. Sebenarnya, kalau pun Pas berbuat demikian ia bukanlah satu keanehan kerana suara atau pihak paling berkuasa dalam parti itu sekarang bukannya golongan ulama yang bersusah payah menubuhkan Pas kira-kira 60 tahun lalu, tetapi golongan yang dianggap sekular dan lebih mementingkan hubungan dengan DAP dan PKR serta mencapai impian ke Putrajaya.
Sebab itulah, apabila Nasharudin menunjukkan ketegasannya dalam soal hukum hudud sehingga mampu mengheret Karpal menyelesaikan pertelingkahan mereka di mahkamah, beliau dikecam hebat oleh kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri.
Pelbagai bentuk kenyataan mereka keluarkan bagi mengecam Nasharudin yang terus istiqomah dalam mempertahankan dasar perjuangan Pas. Bagi mereka, Nasharudin tidak boleh berbuat demikian biar pun itulah asas dan dasar yang memungkinkan terwujudnya Pas di dalam arena politik tanah air.
Tetapi malangnya yang bersuara lantang ini hanyalah daripada golongan bukan ulama, manakala golongan ulama terus diam seribu bahasa biar pun Nasharudin ialah Ahli Majlis Syura Ulama Pas. Golongan ulama Pas seolah-olah kehilangan suara untuk mempertahankan bekas Timbalan Presiden parti tersebut.
Keadaan inilah yang memungkinkan golongan bukan ulama dalam Pas 'naik tocang' sehingga sanggup menyerang Nasharudin habis-habisan. Apatah lagi, PKR langsung tidak mahu campur tangan dalam perbalahan antara Karpal dan Nasharudin kerana mereka percaya 'wakil' mereka dalam Pas sudah cukup bagus dan mantap untuk menyerang kembali Nasharudin.
Apa yang melucukan ada pemimpin PKR menganggap kenyataan Karpal untuk mengemukakan saman kepada Nasharudin hanyalah gertakan dan satu isu kecil yang tidak akan memudaratkan pakatan pembangkang tetapi mereka lupa bahawa Karpal ialah seorang ahli politik yang jauh lebih berprinsip berbanding sesetengah pemimpin PKR dan Pas.
Malahan PKR tidak harus lupa bahawa Karpal juga dalam kenyataan terbarunya mengecam perbuatan melompat parti dan semua orang tahu pemimpin dari parti manakah yang 'mempromosikan' budaya itu sehingga mewujudkan impian 16 September. Oleh itu, kalau pemimpin PKR menganggap isu Nasharudin dan Karpal tidak akan menjejaskan pakatan pembangkang ia adalah satu pandangan politik yang cukup sempit dan untuk 'sedapkan hati' sahaja.
Hakikatnya, isu hukum hudud ini dengan jelas menampakkan bagaimana dalam hubungan antara pakatan pembangkang terutamanya melibatkan DAP dan Pas ia masih mempunyai perbezaan yang cukup ketara antara mereka. Berdasarkan kepada keadaan itulah, ramai ternanti-nanti apakah pendirian yang akan dibuat oleh Pas dalam krisis terbaru ini. Ia memandangkan ketika kepimpinan Pas merasakan sesetengah pemimpin mereka begitu menjaga hubungan dengan DAP dan PKR sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya tetapi di peringkat akar umbi situasinya berbeza.
Pemimpin dan ahli Pas di peringkat akar umbi semakin resah dengan perkembangan ini kerana mereka tidak mahu pemimpin-pemimpin Pas di peringkat atas terus tunduk dengan tekanan DAP dalam soal memperjuangkan Islam.
Ia kerana perjuangan Islam-lah yang selama ini mendorong mereka menyokong Pas berpuluh-puluh tahun sehingga ada antara mereka sanggup bermasam muka dengan sanak-saudara demi mempertahankan perjuangan Pas. Justeru adalah tidak adil, jika tiba-tiba Pas rela mengorbankan perjuangan itu serta menyingkirkan mana-mana pemimpinnya yang memperjuangkan dasar Islam semata-mata untuk memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP.
Dalam dilema melibatkan nasib Nasharudin pula, ramai ingin melihat apa yang Pas hendak lakukan kepada Nasharudin. Ini kerana mereka berpendapat kalau Nasharudin dilihat melanggar peraturan parti kerana menggesa Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang, bagaimana pula dengan Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasrudin Hassan yang menjadi pencetus utama konflik terbaru ini.
Pas tidak boleh pejamkan mata sahaja terhadap kenyataan Nasrudin yang menyatakan Karpal sudah sedia berbincang mengenai hukum hudud sehingga ia membangkitkan reaksi balas daripada Pengerusi DAP itu. Bukankah selama ini, pemimpin-pemimpin Pas mahu ahlinya mematuhi kesepakatan dalam Buku Jingga yang di dalamnya tidak terkandung soal pelaksanaan hukum hudud?
Berikutan reaksi Karpal maka atas prinsip mempertahankan dasar dan maruah parti maka Nasharudin muncul dengan hujahnya, tak kan seseorang yang berbuat demikian dianggap melanggar peraturan parti? Apa pun kita perlu menanti hasil mesyuarat Pas tersebut biar pun di kalangan sesetengah pemimpin parti itu sendiri tidak mengharapkan apa-apa yang besar akan berlaku. Ini kerana menurut mereka yang dihubungi penulis, Pas akan lebih mementingkan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam memburu impian ke Putrajaya.
''Sebenarnya, kita sudah boleh menjangkakan bahawa apabila selesai mesyuarat itu, pemimpin Pas akan membuat kenyataan bahawa isu hukum hudud itu akan atau boleh diselesaikan melalui musyawarah. Tumpuan kini ialah Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN), itulah yang saya jangka mesyuarat berkenaan akan putuskan," kata salah seorang pemimpin Pas daripada golongan pro ulama ketika dihubungi.
Dan satu lagi kenyataan cukup popular yang dijangka dikeluarkan oleh Pas adalah isu hukum hudud ini mainan media pro kerajaan yang bertujuan memecah belahkan kesepakatan dan kerjasama antara pakatan pembangkang.
Jika itulah kenyataan yang dibuat, sudah tentulah kita tidak akan terkejut kerana sejak berada bersama pakatan pembangkang, Pas sememangnya semakin terhakis prinsipnya terutama dalam mempertahankan dasar perjuangan Islamnya dan sanggup menjadi parti paling banyak berkorban melalui kerjasama berkenaan demi kegelojohan mencari kuasa politik.
/hwa: utusan.com.my | 23/8/12 

Tiada ulasan: