SETIAP kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya
sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cintakan
negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah
pembina negara bangsa yang bersatu padu.
Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara maju
sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan
perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku
kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.
Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang
mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai
kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu.
Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang
kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme
baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara
bangsa dan sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih
hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain
itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada
negara yang kita cintai.
Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung
perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir
dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.
Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa
dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan
kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan
di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada
negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di
perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui
semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa
setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan
politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.
Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan
rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara.
Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan
tanggungjawab setiap rakyat.
Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara
melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang
sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi
muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan
bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui
Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan
semakmur Malaysia.
Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi
muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan,
cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat
yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.
Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan
manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan
diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha
haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan
negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan
Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah
suatu permulaan ke arah itu.
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 dan Hari
Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam
hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan
perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua
dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan
negara. Tema pada tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah dipertikaikan
lagi.
Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan
semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang
murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga
Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan
mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan
kemerdekaan negara.
Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan pejuang
kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman
Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara terdapat juga
tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.
Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah
berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: " Saya
telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin,
saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang
Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang
bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu."
Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari
bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat
cintakan negara.
Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme
iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara
bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung
pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata
pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan
negara.
Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada rasa
cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang
mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat
patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu.
Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan
kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan
daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu
benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga
dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa
kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan
di sekolah.
/hwa: utusan.com.my | 23/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan